Kejadian didekati wanita tidak halang Sultan Nazrin santuni rakyat

Kejadian didekati wanita tidak halang Sultan Nazrin santuni rakyat

MOHD. Zahidi Zainuddin (tengah) pada sidang akhbar Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Negeri Perak Tahun 2025 sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke-69 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, semalam. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Insiden seorang wanita mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di atas pentas utama ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan peringkat negeri di sini pada 31 Ogos lalu tidak sedikit pun menjarakkan baginda daripada rakyat jelata.

Sebaliknya, baginda kekal berjiwa rakyat apabila terus berkenan beramah mesra dan menyantuni orang ramai dalam pelbagai majlis rasmi selepas kejadian itu, termasuk menjelang ulang tahun ke-69 Hari Keputeraan baginda pada 7 November ini.

Menurut Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin, meskipun kawalan keselamatan kini dipertingkatkan, pendekatan Sultan Nazrin yang dekat dengan rakyat tetap dikekalkan seperti biasa.

“Baginda tidak pernah meletakkan jarak dengan rakyat. Walaupun selepas kejadian itu, Tuanku masih berkenan bersalam dan bergambar bersama rakyat dalam setiap majlis rasmi yang dihadiri,” katanya pada sidang akhbar Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Negeri Perak Tahun 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Insiden berlaku semasa sambutan Hari Kebangsaan tempoh hari menjadi pengajaran penting kepada semua agensi keselamatan bagi menambah baik aspek kawalan pada program yang melibatkan kehadiran baginda serta kerabat diraja.

Mohd. Zahidi berkata, bagi mengelakkan insiden berkenaan berulang, kawalan keselamatan kini dipertingkatkan tanpa menjejaskan suasana mesra antara Tuanku dan rakyat.

Pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Ogos lepas, seorang wanita ditahan kerana menceroboh pentas utama dan cuba menghampiri Sultan Nazrin ketika lagu kebesaran negeri sedang berkumandang.

Tindakan itu berjaya dihalang oleh pengawal keselamatan dengan Sultan Nazrin kemudiannya meneruskan acara serta turun bertemu dengan rakyat yang hadir menyaksikan sambutan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN