PUTRAJAYA: Seorang wanita mendakwa hidup dalam tekanan selama lebih sedekad apabila pinjaman RM100,000 yang dibuat dengan sebuah syarikat pemberi pinjaman wang berlesen pada 2015 bertukar menjadi beban kewangan berpanjangan.
Apa tidaknya, dia masih dituntut membayar RM162,000 lagi walaupun sudah melunaskan kira-kira RM140,000 setakat ini.
Tidak cukup dengan itu, dia turut diheret ke mahkamah selain dikenakan kaveat ke atas rumahnya sejak 2020, sekali gus menyukarkannya menjual kediaman di Rawang, Selangor itu bagi melangsaikan baki pinjaman tersebut.
Fina yang ditemui hari ini berkata, beliau membuat pinjaman itu bagi membantu perniagaan keluarga, namun hanya menerima kira-kira RM92,000 selepas pelbagai potongan dibuat oleh syarikat terbabit.
Katanya, ketika menandatangani dokumen pinjaman, beliau mendakwa diminta menandatangani perjanjian yang merekodkan jumlah RM200,000 walaupun pinjaman sebenar yang dipohon hanyalah RM100,000.
“Duit pinjaman itu sudah lama saya bayar. Setakat ini saya sudah bayar kira-kira RM140,000 tetapi mereka masih menuntut jumlah yang lebih tinggi.
“Saya mahu selesaikan hutang ini secara adil. Saya pinjam RM100,000 dan saya sanggup bayar balik jumlah itu, tetapi janganlah sampai meminta bayaran yang tidak munasabah,” katanya ketika ditemui selepas mengemukakan aduan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.
Katanya, masalah itu berlarutan selepas perniagaan keluarganya ditutup dan rundingan untuk menyelesaikan baki hutang hanya berdasarkan jumlah pokok pinjaman gagal mencapai persetujuan
Jelasnya lagi, pada Mac dan April lalu beliau memohon penangguhan bayaran selama dua bulan kerana perlu menanggung kos pembedahan ibunya, namun mendakwa menerima surat tuntutan baharu yang menghendakinya menjelaskan RM162,000.
Fina menjelaskan, dia sudah berhabis puluhan ribu ringgit untuk bayaran guaman bagi mendapatkan penyelesaian adil dan tidak lagi mahu hidup dalam tekanan.
Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN), Joseph Prakash berkata, selain Fina, pihaknya turut menerima lima aduan kes yang hampir sama berkaitan syarikat itu.
Menurutnya, pihaknya menerima beberapa aduan membabitkan syarikat pemberi pinjaman berlesen yang didakwa mengenakan kadar faedah melampau serta menggunakan pelbagai bentuk tekanan terhadap peminjam.
“Kes yang dihadapi wanita itu bukan kes terpencil malah terdapat beberapa lagi mangsa yang didakwa berdepan masalah hampir sama melibatkan syarikat yang sama.
“Ada peminjam yang terpaksa menjual aset dan harta benda untuk melunaskan hutang namun masih gagal keluar daripada beban kewangan yang ditanggung.
“PKIPN akan membantu mangsa mendapatkan keadilan dan kita mahu melihat tindakan sewajarnya diambil terhadap syarikat yang didakwa melanggar syarat lesen serta mengenakan faedah tidak munasabah.
“Kita juga mahu pihak berkuasa menyiasat aduan yang dikemukakan dan mengambil tindakan jika terdapat pelanggaran undang-undang,” katanya.
Katanya, pihaknya telah membawa perkara itu kepada KPKT dan kini menunggu tindakan lanjut daripada kementerian sebelum tarikh pendengaran kes seterusnya pada 17 Ogos ini. – UTUSAN










