MELAKA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat dengan terperinci berhubung suspek utama kejadian melepaskan tembakan ke arah seorang rakyat Malaysia sehingga maut di Sungai Golok, Sabtu lalu yang memiliki dua kerakyatan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu berkaitan dua kerakyatan sudah menjadi kebiasaan di kawasan sempadan sejak sekian lama dan ia perlu diatasi segera.
Menurutnya, beliau menerima taklimat Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berhubung perkara tersebut serta mengesahkan kebenaran dua kerakyatan dimiliki suspek.
Beliau berkata, dari segi undang-undang Malaysia tidak pernah mengiktiraf dua kerakyatan dan mereka yang memiliki dua warga adalah menjadi satu kesalahan.
“Jadi kita akan perhalusi, tengok balik keadaan itu. Saya akan minta nanti di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyiasat apakah ada rekod yang kita boleh buat perbandingan.
“Kita juga akan minta kerjasama daripada pihak berkuasa Thailand dan apabila segala maklumat diperolehi barulah kita akan bertindak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen 2025 Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal di sini hari ini.
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk KDN untuk meneliti dan mencari formula terbaik bagi mengatasi isu dua kerakyatan yang dimiliki mana-mana individu.
“Kita memang ke arah itu kerana undang-undang kita sangat jelas dan kita tidak mengiktiraf dua kerakyatan,” katanya.
Sebelum ini akhbar ini melaporkan seorang bekas penjaga gol pasukan bola sepak Kelantan FA pada 2019 yang merupakan suspek utama kejadian melepaskan tembakan ke arah seorang rakyat Malaysia sehingga maut di Sungai Golok, memiliki dua kerakyatan.-UTUSAN










