SABAK BERNAM: Karnival Ban Canal akan terus diadakan pada setiap tahun sebagai sebahagian daripada pemangkin ekonomi penduduk di samping mempromosikan kawasan agropelancongan di Sabak Bernam sehingga ke peringkat antarabangsa.
Ia dilihat memberi sumbangan kepada sektor pelancongan negeri apabila diiktiraf sebagai Best Tourism Event dalam Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2025 oleh Malaysia International Tourism Development Association.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Sabak Bernam merupakan kawasan penting untuk pembangunan pelancongan berasaskan desa dan pertanian yang menjadikan faktor alam semula jadi sebagai elemen utama.
“Sabak Bernam merupakan lokasi paling utara di negeri ini, ia tidak akan terlepas daripada perhatian dan juga perancangan kerajaan negeri. Salah satu daripadanya adalah Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA),” katanya berucap merasmikan Karnival Ban Canal 2025 semalam.
Amirudin berkata, pada pembentangan Belanjawan 2026, terdapat projek pemangkin pembangunan di Sabak Bernam akan diumumkan.
Bagaimanapun, menurutnya pembangunan di kawasan tersebut akan mengekalkan aktiviti pertanian penduduk namun pada masa sama memberi nilai tambah dalam meningkatkan potensi ekonomi setempat.
“Antaranya projek perumahan rakyat di Air Manis. Sebahagian besar (pertanian) kita akan kekalkan.
“Tetapi lain yang memerlukan naik taraf kita akan lakukan. Contohnya tempat pendaratan ikan (di Sekinchan), itu sedia ada.
“Begitu juga aktiviti pertanian. Apa sistem sokongan kepada aktiviti pertanian? Itu contoh yang kita akan beri nilai tambah di Sabah Bernam khususnya dalam SABDA,” ujarnya.-UTUSAN.










