KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengakui terkejut apabila bekas penjaga gol pasukan Kelantan FA musim 2019 itu menjadi suspek utama kes tembak yang meragut nyawa seorang lelaki warganegara Malaysia di Sungai Golok, Thailand kelmarin.
Setiausaha Agungnya Husin Deraman berkata, pemain berkenaan tidak mempunyai sebarang masalah disiplin atau terlibat dengan jenayah sepanjang beraksi bersama Kelantan pada tahun 2014 dan 2019.
Katanya, selepas kontrak bersama Kelantan tamat, anak kelahiran Rantau Panjang itu menyambung perjalanan sebagai pemain bola sepak dengan menyeratai Nara United FC di Thailand pada 2020.
“Selepas itu dia terus hilang daripada radar bola sepak. Pada tahun 2020, kita ada menghubungi pemain berkenaan, namun ketika itu dia sudah beraksi dengan Nara United FC.
“Itulah kali terakhir kami (KAFA) berhubung pemain berkenaan. Sepanjang bersama Kelantan, pergaulan dengan rakan sepasukan dan pengurusan juga sangat baik. Dia bermain di hujung musim tahun 2019 bersama Kelantan FA,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Husin memberitahu, sebelum menghilangkan diri, pemain berkenaan menghadapi kekangan sehingga persatuan pernah memberikan kemudahan pengangkutan bagi memudahkan dia hadir latihan dari Rantau Panjang ke padang latihan MARDI Pasir Tumboh.
Katanya, beliau berharap kejadian yang menimpa bekas pemain Kelantan itu menjadi pengajaran kepada bintang bola sepak lain agar tidak terjebak dengan jenayah.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, bekas penjaga gol pasukan bola sepak Kelantan FA pada 2019 yang merupakan suspek utama kejadian melepaskan tembakan ke arah seorang rakyat Malaysia sehingga maut di Sungai Golok, memiliki dua kerakyatan.
Komander Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Charoen Khet, Mukim Sungai Golok pada pukul 6 petang semalam.
Terdahulu, rakyat Malaysia yang parah selepas dipercayai ditembak sebanyak 18 kali dalam kejadian di Sungai Golok, Thailand, meninggal dunia malam tadi.
Mohd. Fuad Fahmie menghembuskan nafas terakhirnya semasa menerima rawatan di Hospital Sungai Golok pada pukul 9 malam.-UTUSAN










