Jumlah kanak-kanak perlukan penjagaan, perlindungan naik 12.7% - Utusan Malaysia

Jumlah kanak-kanak perlukan penjagaan, perlindungan naik 12.7%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bilangan kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dan perlindungan meningkat 12.7 peratus kepada 9,624 kes pada 2024, menurut Statistik Kanak-Kanak, Malaysia, 2025 oleh Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kanak-kanak perempuan mencatatkan kenaikan 11.3 peratus kepada 6,031 kes, manakala kanak-kanak lelaki lebih tinggi iaitu 15.2 peratus.

“Bilangan kanak-kanak yang terlibat dalam jenayah menurun 4.2 peratus kepada 2,627 kes, manakala kanak-kanak Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 82.2 peratus, diikuti Cina (9.0 peratus), India (4.9 peratus) dan Lain-lain (4.1 peratus).

“Selain itu, bilangan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Berdaftar (TASKA) meningkat 1.4 peratus kepada 3,198 buah pada 2024.

“Johor mencatatkan pertumbuhan tertinggi iaitu 29.4 peratus, manakala Putrajaya mencatatkan penurunan terbesar iaitu 21 peratus.

“Pendaftaran murid di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan pula menurun 0.2 peratus, dengan penurunan 3.0 peratus di peringkat menengah atas, manakala sekolah swasta menurun 0.3 peratus, terutamanya disebabkan penurunan 3.4 peratus di peringkat tadika,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Mohd Uzir, jumlah kanak-kanak berumur bawah 18 tahun di Malaysia dianggarkan seramai 9.03 juta orang, iaitu 26.4 peratus daripada jumlah penduduk 34.23 juta berdasarkan anggaran penduduk 2025.

“Daripada jumlah ini, 4.66 juta adalah lelaki dan 4.37 juta adalah perempuan dan kanak-kanak berumur bawah lima tahun pula berjumlah 2.31 juta orang.

“Putrajaya mencatatkan peratusan tertinggi kanak-kanak bawah 18 tahun (39.9 peratus), diikuti Kelantan (33.5 peratus) dan Terengganu (32.9 peratus).

“Dari segi bilangan, Selangor mencatatkan jumlah kanak-kanak tertinggi iaitu 1.81 juta orang, manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan jumlah terendah iaitu 0.03 juta orang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dari aspek kesihatan, liputan imunisasi bayi menunjukkan penurunan pada 2024 bagi kelima-lima jenis imuninasi utama.

“Liputan bagi Polio, Difteria, Tetanus & Pertusis (DTP), Haemophilus Influenzae Type B (HIB) dan Hepatitis B masing-masing menurun 6.1 mata peratus, manakala Bacillus Calmette-Guerin (BCG) menurun 0.3 mata peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN