Jepun kerah tentera bantu buru beruang liar

Jepun kerah tentera bantu buru beruang liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Angkatan Tentera Jepun dikerahkan ke kawasan pergunungan di utara negara itu bagi membantu memburu dan memerangkap beruang liar susulan peningkatan serangan terhadap penduduk tempatan.

Operasi itu dimulakan di bandar Kazuno, wilayah Akita, selepas pihak berkuasa tempatan membuat permintaan segera kepada kerajaan berikutan kes serangan beruang yang semakin meningkat.

Penduduk di bandar berkenaan sejak beberapa minggu lalu dinasihatkan supaya menjauhi kawasan hutan tebal, tidak keluar rumah selepas waktu malam dan membawa loceng sebagai langkah berjaga-jaga untuk menakutkan beruang yang mencari makanan berhampiran kediaman mereka.

Menurut Kementerian Alam Sekitar Jepun, lebih 100 kes serangan beruang dilaporkan sejak April lalu dengan jumlah korban mencecah 12 orang, angka tertinggi pernah direkodkan.

Dua pertiga daripada kematian itu berlaku di wilayah Akita dan wilayah bersebelahan, Iwate.

“Penduduk bandar ini merasai ancaman itu setiap hari.

“Keadaan ini telah menjejaskan cara hidup penduduk, memaksa mereka untuk tidak keluar rumah atau membatalkan pelbagai acara,” kata Datuk Bandar Kazuno, Shinji Sasamoto.

Beliau berkata demikian pada Rabu selepas bertemu kira-kira 15 anggota tentera yang tiba di bandar itu menaiki trak tentera dan beberapa jip, lengkap dengan perisai badan serta peta besar.

Anggota tentera berkenaan akan membantu mengangkut, memasang dan memeriksa perangkap berbentuk kotak yang digunakan untuk menangkap beruang, namun haiwan itu akan dilupuskan oleh pemburu terlatih yang menggunakan senjata lebih sesuai bagi tujuan tersebut.

Pihak berkuasa di wilayah Akita melaporkan peningkatan enam kali ganda dalam jumlah penampakan beruang pada 2025, melebihi 8,000 kes, mendorong gabenor wilayah itu meminta bantuan daripada Pasukan Pertahanan Diri Jepun minggu lalu.

Selepas Kazuno, sebuah bandar dengan kira-kira 30,000 penduduk yang terkenal dengan kolam air panas, pasukan tentera akan bergerak ke bandar Odate dan Kitaakita di bawah perjanjian yang dijangka berkuat kuasa sehingga akhir November.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN