KOTA BHARU: Sekumpulan 13 individu yang berhimpun di depan Istana Kelantan kelmarin dipercayai mahu menyerahkan barangan lama kepada pihak istana.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat tersebut hasil siasatan awal yang dijalankan di lokasi kejadian.
“Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu telah menerima panggilan telefon dari Balai Polis Kubang Kerian pada pukul 11.40 pagi yang memaklumkan perhimpunan tersebut.
“Susulan itu, polis telah menahan kesemua inidvidu yang masing-masing berusia 26 hingga 67 tahun untuk siasatan lanjut. Kesemua mereka telah direman selama empat hari bermula semalam hingga Sabtu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati lima daripada 13 individu itu positif dadah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan serta Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, seramai 13 individu termasuk seorang wanita dan tiga Orang Asli antara yang ditahan reman empat hari selepas dipercayai menyertai perhimpunan di depan Istana Negeri, Kubang Kerian di sini, semalam.
Perintah reman sehingga Sabtu terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 26 tahun hingga 67 tahun itu dikeluarkan Majistret Imran Rais Hamid.-UTUSAN










