KEMUNCULAN 17 calon Bebas yang menggelarkan diri mereka sebagai Gelombang Hitam dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, menggambarkan rasa tidak percaya atau hilang keyakinan sebahagian rakyat terhadap parti politik.
Setelah sekian lama politik Sabah dikuasai oleh parti-parti besar, kemunculan mereka seolah-olah memberi peluang kepada rakyat mencari alternatif di luar struktur kepartian.
Di sebalik lebih lapan parti terlibat dalam PRN Sabah kali ini, kehadiran mereka memperlihatkan rakyat mempunyai pilihan agar tidak lagi memilih berdasarkan ideologi kepartian, tetapi membolehkan menilai calon berdasarkan integriti dan kemampuan.
Kehadiran mereka mungkin kerana ada yang tidak bersetuju dengan ideologi parti politik di samping merasakan parti politik kini gagal mewakili suara rakyat dengan lebih berkesan.
Keadaan itu juga memperlihatkan sentimen rakyat terhadap parti politik sangat negatif contohnya masyarakat awam sudah muak dengan perebutan kuasa, lompat parti atau janji tidak ditepati.
Dalam situasi begini, calon Bebas tampil sebagai alternatif yang lebih bersih dan ikhlas tanpa beban imej parti.
Berbanding sebelum ini, ada calon Bebas bertanding sebagai protes terhadap parti kerana selepas tidak dipilih sebagai calon, sebaliknya berlainan dengan Gelombang Hitam ini.
Kumpulan yang diketuai seorang Ahli Parlimen Bebas, Vernon Bahanda di samping 16 individu lain tidak mempunyai latar belakang parti seperti disingkir atau keluar parti, sebaliknya mereka hadir dari semangat akar umbi.
Vernon misalnya, yang bertanding pertama kali ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai calon Bebas dan menang Parlimen Kudat dalam pertembungan lima penjuru dengan majoriti 1,967 undi.
Pada kali ini, beliau bertanding di kerusi DUN Tanjong Kapor dalam Parlimen Kudat sekali gus menjadi kelebihan kepadanya untuk mencipta kemenangan dalam PRN Sabah nanti.
Begitu juga dengan 16 calon Bebas lain, mereka bukan bekas Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan, tetapi mereka merasakan peluang PRN Sabah kali ini dapat menonjolkan sebagai pejuang rakyat yang lebih tulen.
Justeru, penyertaan mereka dalam PRN Sabah kali ini boleh dianggap sebagai manifestasi kebangkitan politik akar umbi di mana satu gerakan kecil tetapi berpotensi besar mengubah persepsi terhadap politik kepartian semakin dipersoalkan keberkesanannya.
Agak mustahil 17 calon Bebas ini untuk membentuk kerajaan yang memerlukan angka 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun mereka sangat diperlukan jika tiada parti meraih majoriti mudah.
Seandainya mereka menang satu atau dua kerusi, kuasa baharu ini yang berpotensi menjadi pencatur utama atau King Maker dalam pembentukan kerajaan negeri akan datang.
Secara keseluruhan, kemunculan mereka bukan sahaja menghidupkan semula politik calon Bebas di Sabah, tetapi juga memperlihatkan paradigma politik negeri itu. – UTUSAN










