Cabaran lebih getir menanti Qabil musim depan

Cabaran lebih getir menanti Qabil musim depan

Qabil Irfan Azlan dinobatkan sebagai juara keseluruhan ESBK Talent pada Kejuaraan Superbike Sepanyol di Litar Jerez, Sepanyol, hujung minggu lalu. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saingan yang lebih mencabar menanti pelumba berbakat besar negara, Qabil Irfan Azlan, tahun depan selepas dia menutup musim Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 selaku juara keseluruhan ESBK Talent.

Pelumba berusia 13 tahun itu mengumpul 297 mata selaku pendahulu keseluruhan, dengan pesaing terdekatnya Alessio Arnold dari Switzerland berada di tangga kedua (240 mata) dan Enzo Zaragoza dari Sepanyol menghuni tempat ketiga (229 mata).

Musim 2026, cabaran berbeza menanti Qabil dengan perlumbaan yang lebih kompetitif iaitu Asia Talent Cup (ATC) dan European Talent Cup (ETC) menanti ketika usianya baru hendak menginjak 14 tahun.

Bekas juara dunia MiniGP 2023 itu, muncul anak Malaysia pertama yang bergelar juara dalam perlumbaan motosikal di pentas Eropah.

Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, secara keseluruhan, ini merupakan musim yang sangat berjaya untuk Qabil dengan enam kemenangan, dua selaku naib juara dan tiga kali berada di tempat ketiga.

“Keputusan ini menunjukkan konsistensi yang luar biasa daripada Qabil, kita berjaya menjuarai kategori ini dan tahniah kepada Qabil serta keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di tanah air di sini, semalam.

Bekas pelumba Moto2 dan Moto3 Malaysia itu turut berterima kasih kepada pasukan yang diwakili Qabil, Frando Racing VHC Team yang sentiasa memberikan yang terbaik bagi memastikan pelumba itu menjadi juara pada tahun ini.

Dalam pusingan terakhir di Litar Jerez, hujung minggu lalu, Qabil menutup aksinya di kedudukan ketiga pada perlumbaan 1 (26 minit 12.242 saat) dan tempat keempat di perlumbaan 2 (11:20.246s).

Apa yang lebih istimewa penampilan terakhir Qabil dalam perlumbaan 2 di pentas ESBK, dia telah memakai helmet Suomy yang direka khas bagi meraikan kejayaannya bergelar juara keseluruhan, selain, jentera Honda yang menggunakan warna Livery Gold.

Walaupun musim ESBK telah berakhir, namun, anak jati Terengganu itu masih memiliki misi pada Kejohanan Dunia Akhir FIM MiniGP 2025 yang bermula, semalam hingga Khamis ini dan Qabil selaku juara 190cc MiniGP Malaysia bakal bertarung bagi merebut gelaran dunia untuk kategori tersebut.

Dua lagi wakil Malaysia turut beraksi pada kejuaraan tersebut ialah naib juara 190c MiniGP Malaysia, Adam Aiman dan juara 160cc MiniGP Malaysia, Al-Adam Mikail Mohd Hamirul Aliff di Litar Valencia, Sepanyol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN