PETALING JAYA: Di sebalik keputusan podium yang dicatat Qabil Irfan Azlan pada Kejuaraan Moto4 Piala Eropah di Litar Jerez, Sepanyol, hujung minggu lalu, pelumba muda itu masih memerlukan jentera lebih kompetitif untuk terus bersaing di kelompok hadapan.
Qabil yang mewakili pasukan SIC-GRYD Racing menamatkan perlumbaan 2 (7 pusingan) di kedudukan ketiga dengan catatan masa 12 minit 56.745 saat (s), manakala, dalam perlumbaan 1 (14 pusingan) dia berada di tempat ketujuh (25:36.027s).
Bagaimanapun, perlumbaan 2 dicemari dengan insiden kemalangan besar sehingga memaksa marshall mengibarkan bendera merah dan menghentikan saingan ketika aksi hendak memasuki pusingan terakhir.
Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, Qabil akhirnya berjaya meraih podium, tetapi, dia terpaksa mendapatkan keputusan tersebut dengan cara yang sangat sukar.
“Saya melihat peluang Qabil untuk naik podium agak tipis. Dalam Perlumbaan 2, walaupun perlumbaan dipendekkan kepada sembilan pusingan, Qabil memberikan aksi yang cukup hebat dari awal hingga akhir.
“Dia benar-benar memberikan saingan sengit kepada pelumba-pelumba di hadapan. Saya sangat lega dan bersyukur kerana Qabil tidak terbabit dalam kemalangan besar itu dan akhirnya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga,” katanya.
Beliau percaya keputusan itu membuktikan kemampuan sebenar Qabil serta kerja keras yang dilakukan bersama pasukan sepanjang hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, Zulfahmi berkata, pakej motosikal yang ditunggangi Qabil ketika ini masih belum cukup kompetitif, walaupun, pelumba itu masih berjaya memaksimumkan potensi jentera.
“Saya gembira kerana ini adalah podium pertama Qabil, cuma saya berharap pakej motosikal dapat dipertingkatkan lagi prestasi bagi membolehkan Qabil bersaing dengan lebih konsisten di kelompok hadapan pada perlumbaan akan datang,” tegasnya.
Sementara itu, Qabil melahirkan rasa syukurnya berjaya mencatat keputusan podium, walaupun terpaksa mengharungi perlumbaan yang sangat mencabar.
Anak jati Terengganu itu kini mengumpul 51 mata untuk kekal di tangga keenam keseluruhan, sekali gus menghidupkan peluang mencabar kelompok teratas selepas hanya dipisahkan 44 mata daripada pendahulu, Alvaro Lucas dari pasukan CFMoto Aspar Junior Team. – UTUSAN








