Hak rakyat Sabah pilih Ketua Menteri

Hak rakyat Sabah pilih Ketua Menteri

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah berhak memilih siapa bakal jadi Ketua Menteri dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan menampilkan calon untuk jawatan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walau­pun mengiktiraf hubungan ra­­pat antara PH dan kerajaan ne­­geri, beliau menekankan pen­ting­nya menghormati autonomi Sabah dalam memilih pemim­pin sendiri.

“Kami tidak akan meletakkan calon untuk Ketua Menteri kerana pilihan itu milik dan hak rakyat Sabah.

“Walaupun kami bekerjasama rapat dengan kerajaan nege­ri, pilihan itu milik anda. Apa yang kami mahu ialah Pakatan Harapan kukuh, calon kami calon yang mampu menjaga Sabah dan memastikan hubungan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan baik.

“Kami akan sentiasa beker­jasama untuk membangunkan Sabah,” katanya semasa Cera­mah Umum PMX Harapan Urang Sabah di Bukit Padang, di sini.

Menurut Anwar, PH komited menangani cabaran lama Sabah dengan visi mewujudkan negeri yang makmur berdasarkan kete­rangkuman dan perkhidmatan awam yang ikhlas.

“Jika kita pilih pemimpin yang marah di sini, marah di sana, tidak suka kaum ini, tidak suka Semenanjung, bagaimana kita mahu menjaga rakyat? Kepemimpinan kami mahu ber­khidmat untuk rakyat,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa walaupun PH tidak bertanding di banyak kerusi, ia memainkan peranan penting dalam memastikan tadbir urus baik dan mencegah rasuah.

“Kami mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri dan PH untuk memfokus kepada Sabah baharu, membangunkan negeri ini, memajukan projek dalam semua bidang. Sabah mempunyai potensi yang besar,” katanya.

Dalam Program Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah Bersama Perdana Menteri di sini semalam, Anwar berkata, kerajaan akan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.

Katanya, kerajaan melihat keperluan untuk menambah kerusi Parlimen Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut beliau, perkara itu telah dibincangkan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kerajaan melihat ia satu dasar yang wajar dipertimbangkan.

Bagaimanapun, tambah Anwar, penambahan kerusi tersebut tidak melibatkan satu pertiga kerusi Parlimen seperti yang dibangkitkan, sebaliknya kerajaan hanya bersetuju bahawa peningkatan kerusi adalah wajar berdasarkan keadaan semasa

“Prinsip penambahan kerusi bagi Sabah dan Sarawak telah dipersetujui secara dasar, namun pelaksanaannya akan dilakukan setelah aspek perundangan disiapkan sepenuhnya.

“Tidak ada komitmen mengenai satu pertiga tetapi peningkatan itu memang perlu. Sebab itu saya telah minta Peguam Negeri Sabah, Sarawak dan Peguam Negara selesaikan perkara teknikal dahulu sebelum dibentangkan semula,” katanya.

Tambah Anwar, penyelesaian dari sudut perundangan dan Perlembagaan perlu diperhalusi bagi memastikan proses penambahan kerusi dilakukan secara teratur dan mematuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, di Semenanjung terdapat kawasan Parlimen yang jumlah pengundinya mencecah sehingga 350,000 orang, malah ada yang dianggarkan sudah menghampiri 380,000 hingga 400,000 pengundi.

Sebaliknya, kata beliau, terdapat kawasan pembangunan di Sabah dan Sarawak yang hanya mempunyai sekitar 38,000 pengundi sahaja, menjadikan jurang jumlah pengundi antara negeri-negeri amat besar.

Beliau menjelaskan, perbezaan itu membawa implikasi besar kepada keadilan representasi rakyat kerana kawasan yang padat dengan pengundi berdepan beban tugas lebih berat berbanding kawasan yang luas tetapi jumlah pengundi kecil.

“Jarak perbezaannya memang besar antara kawasan sesak dan sempit dengan sudut-sudut yang banyak, berbanding kawasan luas yang jumlah pengundinya sedikit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN