KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mahu pelaksanaan projek tebatan banjir di negeri ini dilaksanakan berdasarkan kajian lapangan yang teliti serta mengambil kira keperluan sebenar masyarakat setempat dan bukan sekadar berpaksikan pelan di atas kertas.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud, berkata masyarakat di kawasan terlibat mencadangkan penggalian terusan atau tali air dalam kerja-kerja pelaksanaan projek tersebut, namun pelaksanaan di peringkat Persekutuan kini lebih tertumpu kepada pembinaan benteng.
“Beberapa pegawai di peringkat Persekutuan yang berasal dari Kelantan turut berpandangan sama berhubung bentuk pembinaan tebatan itu.
“Ia seolah-olah kajian tidak menyeluruh dan tidak turun ke bawah, sebab itu masalah banjir sukar diselesaikan,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd. Rusli Abdullah semasa Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohd. Nassuruddin memberitahu, kajian dan penelitian semula juga perlu mengambil kira keadaan muka bumi dan laluan sungai di negeri ini.
“Kadang-kadang sungai itu sudah beralih tempat, muka bumi pun berubah. Kami juga serahkan isu kepada kepada pihak teknikal.
“Saya juga sudah maklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri supaya satu kajian teliti dibuat,” ujarnya.
Utusan Malaysia pada 23 April lalu melaporkan, Kerajaan Kelantan memaklumkan kerja-kerja pembinaan projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Sungai Golok di sini akan siap dua tahun lebih awal iaitu 2028 berbanding jadual asal 2030.
Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, kelulusan mempercepatkan kerja-kerja itu dibuat selepas beliau mengemukakan permohonan secara terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.-UTUSAN










