Di mana bot bawa 230 PATI?

Di mana bot bawa 230 PATI?

ANGGOTA polis dan Maritim Malaysia memeriksa mayat disyaki pendatang asing tanpa izin yang ditemukan di perairan Malaysia dekat Langkawi, semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Persoalan timbul tentang status sebuah lagi bot dipercayai membawa 230 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar khususnya etnik Rohingya apabila pihak berkuasa belum memperoleh sebarang maklumat berkaitannya.

Berdasarkan laporan sebelum ini, kesemua mereka pada awalnya menaiki kapal induk yang membawa 300 penum­pang dari Buthidaung, Myanmar sebelum dipindahkan ke dua bot yang dinaiki 70 mang­sa dan 230 lagi dalam bot ber­lainan.

Namun, bot yang membawa 70 PATI itu dipercayai karam berhampiran Pulau Tarutao yang terletak antara perairan Malaysia-Thailand di Langkawi, selepas lebih sejam berlayar ke arah perairan negara ini.

Sekiranya bot membawa 230 PATI terbabit tidak mengalami apa-apa insiden, berkemungkinan kesemua mereka masih selamat dan terus belayar di lautan kecuali berdepan masalah kesihatan akibat keletihan atau kelaparan.

Ini kerana, agak mustahil untuk bot tersebut mendarat di mana-mana kawasan daratan sekitar Langkawi buat masa ini, disebabkan kawalan ketat pasukan keselamatan negara menerusi Op Guard 5.0.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adz­li Abu Shah berkata, pihaknya juga masih belum menerima apa-apa maklumat tentang bot disyaki membawa 230 penumpang itu setakat ini.

“Tak ada kesan dan tiada maklumat (mengenai status bot tersebut),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin dalam sidang akhbar sebelum ini memaklumkan, siasatan awal terhadap PATI yang diselamatkan mendapati mereka dipindahkan ke dua bot berlainan ketika di tengah-tengah laut.

Malah, Menteri Dalam Ne­geri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula berkata, Malaysia diyakini menjadi destinasi akhir bagi migran terbabit memandangkan kesemua mangsa yang terselamat secara konsis­ten menyatakan mereka membayar sejumlah wang kepada pihak dipercayai sindiket untuk datang ke negara ini.

Sementara itu, nasib 24 lagi mangsa daripada bot yang ka­ram membawa 70 penumpang turut belum diketahui setelah 46 daripadanya sudah ditemui pasukan penyelamat Malaysia dan Thailand.

Sebanyak 22 daripadanya ditemukan tidak bernyawa termasuk empat kanak-kanak disyaki etnik Rohingya, manakala pihak berkuasa Thailand turut menemukan 10 mayat yang terapung di perairan negara itu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, seramai 14 mangsa berjaya diselamatkan pelbagai agensi sejak hari pertama operasi mencari dan menyelamat digerakkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN