KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk menaikkan had maksimum penggunaan petrol bersubsidi bagi sektor atau pemandu e-hailing daripada 600 liter kepada 800 liter sebulan, tertakluk syarat perjalanan yang ditetapkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dipertimbangkan selepas kerajaan menerima maklum balas daripada pemandu e-hailing yang mendapati jumlah semasa belum mencukupi untuk menampung kos operasi harian.
“Kerajaan sedang menilai semula keperluan bagi meningkatkan siling penggunaan bagi pemandu e-hailing yang layak di bawah Program BUDI Madani RON95.
“Ini berikutan ada antara mereka memaklumkan bahawa 600 liter masih tidak mencukupi untuk menampung perjalanan dan perbelanjaan bahan api,” katanya menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat, semalam.
Menurutnya, sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan data dan rekod penggunaan sebenar bagi memastikan bantuan disalurkan kepada kumpulan yang benar memerlukan.
Anwar berkata, sebelum ini kerajaan sudah meningkatkan had subsidi bagi pemandu e-hailing aktif daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan, membabitkan seramai 58,000 pemandu aktif yang layak di seluruh negara.
“Kalau benar ada keperluan dan penggunaan mereka terbukti melebihi had ditetapkan, kerajaan akan tingkatkan siling sehingga 800 liter bagi pemandu e-hailing yang layak,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, purata bagi penggunaan petrol RON95 melalui BUDI95 bagi setiap pengguna biasa adalah 98 liter sahaja sepanjang Oktober lalu.
Katanya, angka itu hanya mewakili 33 peratus daripada had bulanan 300 liter yang ditetapkan, menunjukkan sebahagian besar penerima tidak menggunakan sepenuhnya kuota subsidi yang disediakan.
“Adakah 300 liter mencukupi? Kalau kita lihat purata penggunaan bulan Oktober adalah 98 liter sahaja, iaitu 33 peratus daripada kelayakan. Mereka yang membelanjakan lebih 300 liter hanya 0.7 peratus sahaja,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan BUDI95 merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan melaksanakan subsidi bersasar bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak tanpa ketirisan kepada pengguna berpendapatan tinggi.
“Data awal ini menunjukkan pendekatan bersasar kerajaan membuahkan hasil positif. Subsidi sampai kepada kumpulan sasaran, dan penggunaan yang sederhana membuktikan tiada pembaziran dalam pelaksanaan program ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar juga berkata, pelaksanaan pengecualian subsidi RON95 kepada kumpulan berpendapatan tinggi (T15) hanya akan dilaksanakan selepas sistem program BUDI95 dinaik taraf bagi memastikan ia beroperasi dengan lebih efisien dan menyeluruh.
Katanya, kerajaan berpandangan langkah itu hanya sesuai dilaksanakan apabila sistem penyasaran subsidi berkenaan benar-benar mantap serta mampu menilai kelayakan penerima dengan tepat.
“Buat masa ini, kerajaan meneruskan pelaksanaan BUDI95 dengan sistem sedia ada. Apabila sistem itu ditambah baik kelak, kita boleh mempertimbangkan pengecualian bagi mereka yang berpendapatan tinggi atau menggunakan kenderaan mewah,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan pelaksanaan program itu dijangka memberi penjimatan sekitar RM2.5 bilion kepada kerajaan.
“Walaupun ada pandangan mengatakan jumlah itu lebih rendah berbanding anggaran awal oleh Bank Dunia, saya berpandangan ia masih menunjukkan keberkesanan langkah penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan semalam berkata, tahap peningkatan siling kelayakan bulanan BUDI95 bergantung kepada jarak perjalanan ehailing yang direkodkan dalam sistem syarikat pengendali ehailing EHO bagi bulan sebelumnya.
Katanya, bagi jarak perjalanan kurang 2,000 kilometer (km) tiada tambahan 300 liter dan bagi jarak perjalanan melebihi 2,000 sehingga 5,000 km layak mendapat tambahan sehingga 600 liter.
Manakala bagi jarak perjalanan melebihi 5,000 km layak memperoleh tambahan sehingga 800 liter.
Nilai ambang jarak perjalanan baharu ini ditetapkan berdasarkan kajian MoF terhadap data jarak perjalanan e-hailing yang dikemukakan oleh EHO serta data penggunaan BUDI95 sebenar oleh para pemandu e-hailing pada September 2025.
Penurunan nilai ambang kelayakan asal dari 3,000 km ke 2,000 km serta pengenalan peringkat baharu melebihi 5,000 km dibuat setelah mengambil kira pergerakan tanpa penumpang yang tidak direkodkan dalam aplikasi EHO.
Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan dan penggunaan pemandu e-hailing bagi memastikan mekanisme yang terbaik bagi semua pihak dalam jangka masa panjang. – UTUSAN










