PETALING JAYA: Utusan Malaysia menafikan penyebaran satu hantaran di media sosial yang menggunakan nama dan logo akhbar ini bagi menyebarkan berita fitnah berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hantaran berkenaan turut menggunakan tajuk palsu iaitu ‘Anwar akui banyak kesilapan perjanjian dengan US’ serta direka seolah-olah ia dilaporkan oleh Utusan Malaysia, sedangkan berita tersebut tidak pernah diterbitkan oleh organisasi ini dalam apa jua platform.
Difahamkan, hantaran palsu itu telah meraih lebih daripada 1,300 reaksi dan lebih 250 perkongsian setakat ini sekali gus menyebabkan salah faham dalam kalangan pengguna media sosial dan mencemarkan reputasi Utusan Malaysia.
Sehubungan itu, Utusan Malaysia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau pihak yang terlibat.-UTUSAN










