KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengiktiraf para peneraju pembangunan tenaga kerja masa hadapan negara menerusi Anugerah Pembangunan Sumber Manusia 2025 yang berlangsung kelmarin.
Sebanyak 40 anugerah disampaikan melalui tujuh kategori utama termasuk Anugerah Menteri Sumber Manusia, Anugerah Ikon Pembelajaran dan Pembangunan serta Anugerah Pengiktirafan Khas ASEAN Year of Skills.
Turut dipertandingkan adalah Anugerah HRD Corp, Anugerah Kecemerlangan Serantau, Anugerah Kecemerlangan serta Anugerah Pasukan Pembelajaran dan Pembangunan Terbaik 2025.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, penganugerahan itu bertujuan menghargai majikan, penyedia latihan dan individu yang menunjukkan komitmen dalam menerajui pembangunan modal insan di peringkat organisasi dan negara.
Katanya, ia berkembang seiring dengan landskap ekonomi Malaysia yang dinamik, meraikan inovasi dalam pembelajaran, keterangkuman dalam latihan serta impak sebenar terhadap transformasi tenaga kerja.
“Memasuki edisi ke-23, Anugerah Pembangunan Sumber Manusia menerima sambutan luar biasa dengan 770 penyertaan dan ia merupakan jumlah tertinggi yang pernah direkodkan. Penyertaan luar biasa ini semakin meningkat bahawa modal insan adalah asas kepada pembangunan negara yang mampan dan inklusif.
“Tidak kiralah sejauh mana majunya teknologi atau infrastruktur yang kita punyai, akhirnya kemahiran, kreativiti dan daya tahan rakyat kita jugalah yang akan menentukan hala tuju masa depan negara ini,” katanya ketika Majlis Malam Gala Anugerah Pembangunan Sumber Manusia 2025 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, acara berprestij itu membuktikan komitmen HRD Corp memajukan modal insan Malaysia sekali gus memperlihatkan dedikasi, semangat dan pencapaian dalam menerajui pembangunan sumber manusia negara.
Katanya, anugerah berkenaan merupakan penanda aras kecemerlangan, mendorong organisasi dan individu menetapkan standard baharu dalam pembelajaran, pembangunan serta pemerkasaan tenaga kerja.
“Perjalanan ini adalah mengenai membuka akses kepada peluang pembelajaran yang bermakna untuk semua rakyat Malaysia, mempersiapkan mereka menghadapi cabaran, menyesuaikan diri dengan perubahan pesat serta merebut peluang baharu dalam landskap dunia yang sentiasa berkembang.
“Anugerah ini menunjukkan sejauh mana kita telah bergerak bersama dalam menjadikan kemahiran dan pembangunan sebagai keutamaan negara serta tanggungjawab bersama. Setiap penerima mewakili masa depan landskap sumber manusia Malaysia,” katanya. – UTUSAN










