ALOR SETAR: Seramai 19,320 pemilik pegangan dalam kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) membuat bantahan kerana nilaian semula terhadap hartanah mereka didapati tinggi berbanding kadar sedia ada.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan, 11 pemilik pula membantah kerana nilaian semula yang dibuat rendah manakala 16 lagi kerana tercicir atau pegangan tidak dinilai.
“MBAS turut menerima bantahan daripada 10 pemilik pegangan yang tidak mahu hartanah mereka dinilai secara bersama kerana mahu mengikut dokumen belian dan jualan (S&P) yang terkandung dua nama pemilik.
“Malah, 10 pemilik lagi membantah kerana pegangan miliknya dinilai secara berasingan, sementara baki 12 pegangan dibantah kerana menyatakan hartanah milik mereka tidak boleh dikenakan cukai taksiran,” katanya di sini semalam.
Secara keseluruhan, sebanyak 19,379 pemilik pegangan membuat bantahan masing-masing sebelum tempoh berbuat demikian berakhir pada 5 November lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 12,600 pegangan melibatkan kediaman, 1,193 pula kediaman kos rendah dan 4,281 adalah perniagaan.
Dua daripada tiga kompleks membeli-belah di bandar raya ini turut membuat bantahan selain tiga daripada tujuh hospital swasta yang turut mengambil tindakan sama.
Bagi hartanah jenis industri, MBAS menerima 591 bantahan berbanding jumlah keseluruhan 1,199 pegangan serta 161 lagi melibatkan industri ringan.
Sebanyak 512 pemilik pegangan lot kosong turut membuat bantahan masing-masing, selain 11 daripada 20 bangunan persatuan yang juga membantah.
Tempoh pendengaran awam kepada pemilik pegangan yang membantah ditetapkan antara 22 hingga 26 November ini.
Pada 31 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan kegelisahan sebahagian daripada 95,710 pemilik pegangan yang terlibat dalam penilaian semula cukai taksiran oleh MBAS.
Mereka mendakwa, berlaku kenaikan mendadak kepada cukai taksiran setiap hartanah yang dimiliki setelah kali terakhir dinilai pada 1993 dengan menggunakan kaedah pengiraan nilai sewa tahunan.
Namun, MBAS kali ini menggunakan kaedah berasaskan nilai tambah atau nilai pasaran sesuatu hartanah, berbanding nilai sewa tahunan.-UTUSAN.










