KUALA LUMPUR: Segelintir ahli politik didakwa sering memainkan sentimen kenegerian secara berlebihan demi kepentingan politik sempit.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir merujuk parti Warisan yang kononnya menolak campur tangan parti nasional, tetapi pada masa sama mempunyai cawangan dan kepentingan politik di Semenanjung.
“Slogan ‘Sabah untuk Sabahan’ itu bagus sebenarnya. Seperti juga Johor, ‘Bangsa Johor’. Tapi Semporna (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) janganlah jadi pejuang undi, konon pejuang Sabah, sedangkan sejarah menunjukkan sebaliknya.
“Padahal partinya sendiri ada ahli dan cawangan di Johor, Selangor dan Kedah. Jadi, janganlah pura-pura jadi wira Sabahan, kalau hanya pejuang undi, bukan hanya pejuang negeri. Dalam Barisan Nasional, ada juga parti lokal, PBRS. Dalam PH, ada juga parti lokal, iaitu UPKO.
“Siapa yang lantik orang Pulau Pinang jadi ADUN di Sabah? Warisan. Siapa yang bertanding bawah gabungan dengan parti Semenanjung pada 2018 dan 2020? Juga Warisan. Sekarang apabila sudah kalah, semua salah parti Semenanjung,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan, kemajuan sebenar Sabah tidak akan dicapai dengan retorik semata-mata, tetapi melalui pelaksanaan dasar-dasar yang bersifat rakyat, seperti yang terkandung dalam Belanjawan 2026.
“Belanjawan ini bertemakan Belanjawan Rakyat. Untuk rakyat Sabah, kejayaan bajet ini bukan diukur pada angka di kertas. Tapi diukur melalui perubahan nyata dalam hidup mereka, manifestasi kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, manifestasi sebenar Belanjawan Rakyat ialah apabila dasar kerajaan dapat menyentuh dan mengubah kehidupan harian rakyat, bukan sekadar menjadi dokumen perangkaan.
Beliau mengulangi komitmennya untuk terus menyokong segala usaha yang membawa kemajuan kepada negeri Sabah, tanpa mengira perbezaan parti atau fahaman politik.
“Selagi tanggungjawab di tangan, selagi itu Sabah tetap saya bela. Langkah kita mungkin tak sama, tetapi tujuan kita tetap sehaluan untuk rakyat Sabah. Selagi Sabah belum setara, selagi itu perjuangan diteruskan,” katanya.
Katanya, politik kepartian tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada usaha membangunkan negeri itu secara menyeluruh dan inklusif.
“Saya yakin, dengan iltizam bersama, Sabah boleh melakar masa depan yang lebih cerah untuk rakyatnya, dari Libaran ke Kinabatangan, dari Pitas ke Sipitang,” katanya. – UTUSAN









