Wan Saiful, Wan Ahmad Fayhsal kemuka rayuan

Wan Saiful, Wan Ahmad Fayhsal kemuka rayuan

WAN Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/HASIF IDRIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal akan mempertimbang untuk mengemukakan rayuan berhubung hukuman pemecatan dan penggantungan keahlian mereka.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, beliau juga akan mengadakan perbincangan bersama Ketua Bahagian lain yang turut menerima surat pemecatan keahlian tersebut.  

Beliau dalam pada itu memberitahu kecewa dengan tindakan Lembaga Disiplin parti itu kerana ia menyebabkan bilangan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipilih oleh parti akan berkurangan.

Keadaan itu katanya membuka ruang bagi MPT yang lebih ramai yang dilantik untuk mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat yang mungkin bertujuan untuk mengekalkan Pengerusi Lembaga Rayuan atau menambah bilangan ahli dalam Lembaga Rayuan.

“Ini semua adalah perkara yang boleh dijangka. Saya jangka mesyuarat MPT akan dipanggil dalam masa terdekat, sementara kami mempunyai tempoh 14 hari untuk membuat rayuan. Buat masa ini, kami tidak boleh hadir dalam mesyuarat tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen, di sini hari ini. 

Awal pagi tadi, Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan pemecatan keahlian Wan Saiful sebagai ahli parti berkuatkuasa serta-merta sementara, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang digantung keahlian selama satu penggal.

Tindakan tersebut dibuat ekoran pelanggaran Perlembagaan dan Tatakelakuan ahli parti, berdasarkan Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan parti, kod etika dan tatakelakuan. 

Wan Saiful memaklumkan, beliau menerima surat pemecatan itu menerusi kiriman WhatsApp pada pukul 10.45 malam, semalam.  

Katanya, apa jua situasi yang berlaku, beliau dan Wan Ahmad Fayhsal masih kekal setia bersama Bersatu. 

Jelasnya, Bersatu adalah parti yang dibina bersama dengan ahli-ahli di peringkat akar umbi, yang telah berkorban untuk memperkukuhkan dan membina parti dari awal.

“Parti ini bukan milik individu dan kami akan terus berusaha melalui proses dalaman dengan penuh komitmen.

“Saya ingin menekankan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bukan milik mana-mana individu apatah lagi untuk digunakan atau ditunggang oleh sesiapa sahaja untuk menyelamatkan diri,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN