JOHOR BAHRU: Media Mulia Sdn. Bhd. menerusi dua akhbar terbitannya iaitu Kosmo! dan Utusan Malaysia memenangi dua kategori berasingan dalam Majlis Anugerah Media Johor (AMJ) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, malam tadi.
Pada majlis tersebut, Wakil Negeri Kosmo! Johor, Mohd. Sharkawi Londing yang juga calon tunggal, merangkul anugerah utama kategori Media Cetak Berita Bahasa Malaysia Terbaik.
Laporan muka depan bertajuk `Lanun Di Media Sosial’ diangkat sebagai pemenang membolehkan Mohd. Sharkawi membawa pulang wang tunai RM2,000 dan trofi iringan.
Laporan berita itu disiarkan pada 21 Disember 2024 menceritakan pendedahan modus operandi scammer melakukan aktiviti jenayah menggunakan media sosial untuk memanipulasi dan memperdaya mangsa sehingga mengalami kerugian mencecah bilion ringgit.
Sementara itu, jurugambar sambilan Media Mulia, Raja Jaafar Ali yang mewakili Utusan Malaysia, memenangi anugerah Kategori Jurugambar Sukan Terbaik.
Gambar yang dibidik Raja Jaafar menunjukkan ahli Kelab Media Johor sedang bermain sukan bola tampar menggunakan bola bersaiz gergasi, mengangkat namanya mengetepikan dua calon lain.
Raja Jaafar turut memenangi hadiah saguhati menerusi Kategori Berita Foto Terbaik sekaligus membawa pulang piala iringan dan wang tunai RM2,500 bagi kedua-dua anugerah tersebut.
Majlis anugerah anjuran Kerajaan Negeri Johor dan Kelab Media Johor (KMJ) itu kembali diadakan tahun ini selepas enam tahun ‘berehat’ dan malam tadi, ia disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin dan Presiden KMJ merangkap Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM), Mohamad Fauzi Ishak.
AMJ 2025 menjadi platform signifikan untuk mengiktiraf dan menghargai kecemerlangan pengamal media khususnya di negeri Johor.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Media Johor kepada empat penerima yang juga bekas pengamal media di Johor iaitu Surahati Abu Hassan, Rizal Abdullah, Low Sock Ken dan mendiang Raman Raju @ Kalamaru.
AMJ 2025 menyaksikan penyertaan sebanyak 296 karya daripada pelbagai agensi media tempatan termasuk media cetak, televisyen dan radio.










