Tunjuk kebersamaan, sokong usaha kerajaan bawa pulang sukarelawan GSF - Utusan Malaysia

Tunjuk kebersamaan, sokong usaha kerajaan bawa pulang sukarelawan GSF

FATHUL BARI MAT JAHYA.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seluruh rakyat termasuk parti politik tanpa mengira fahaman perlu menunjukkan kebersamaan dan sokongan atas usaha kerajaan membawa pulang semua 23 rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan rejim Zionis

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, setiap ahli politik antaranya perlu bersikap lebih bijak dengan tidak menunggang isu tersebut bagi kepentingan politik masing-masing.

Beliau berkata, kebersamaan semua pihak adalah penting dalam usaha membawa perjuangan membantu rakyat Palestin dan membawa pulang sukarelawan terlibat.

“Tolong ketepikan perbezaan, sebab dalam bab ini kena bersikap bijak sebab ia isu manusiawi, insani, maka kita perlu ada kesepakatan. Tak boleh ada kawan ini nak tunggang, parti ini nak tunggang untuk dijadikan kepentingan politik untuk dia,” katanya di sini semalam.

Semua 23 rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF yang ditahan rejim Zionis Khamis lalu dibebaskan dan dibawa ke Istanbul, Türkiye.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pembebasan itu berlaku selepas kesemua mereka yang ditahan menandatangani arahan pengu­siran dari Israel.

Pembebasan semua rakyat Malaysia itu adalah hasil diplomasi Kerajaan Malaysia dengan pelbagai pihak termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al-Thani, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio dan banyak lagi.

Fathul Bari berkata, kerajaan melakukan pelbagai usaha khususnya melalui hasil diplomasi dalam membebaskan rakyat Malaysia itu.

Katanya, kerajaan Malaysia termasuk UMNO juga telah menyatakan pendirian mengkritik sekerasnya penahanan sukarelawan tersebut yang dianggap tidak sepatutnya berlaku.

“UMNO Bahagian Kangar turut mendokong penuh usaha bagi membawa pulang sukarelawan yang ditahan selepas cuba memasuki perairan Gaza bagi membawa misi kemanusiaan.

“Paling penting ini bukan soal mereka semata-mata, tapi adakah barangan itu sampai kepada penduduk yang ditindas dan memerlukan,” katanya yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kangar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN