Trump umum lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan

Trump umum lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bakal melakukan lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dalam masa terdekat.

Beliau turut menegaskan hasratnya untuk mengekalkan hubungan baik dengan China dan mencapai satu ‘perjanjian hebat’ yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Walaupun ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing kembali memuncak, Trump tetap menzahirkan nada optimis menjelang kemungkinan pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping, yang dijangka berlangsung di Korea Selatan minggu depan.

“Kita akan ada satu perjanjian yang adil. Saya mahu berlaku baik terhadap China. Saya sangat menghargai hubungan saya dengan Presiden Xi,” kata Trump pada sidang media di Rumah Putih ketika menerima kunjungan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, semalam.

“Kami fikir Korea Selatan tempat yang sesuai untuk bertemu. Saya akan berada di Malaysia, kemudian Jepun,” katanya lagi.

Menurut laporan, ini merupakan kali pertama Trump menyebut secara terbuka rancangan beliau untuk melawat Malaysia dan Jepun.

Trump dijadualkan mengadakan lawatan tiga hari ke Jepun bermula 27 Oktober, selepas menghadiri satu persidangan serantau di Malaysia yang menghimpunkan negara-negara Asia Tenggara dan rakan-rakan dialognya.

Semasa di Tokyo, Trump dijangka menggesa Jepun meningkatkan pelaburannya di AS serta memainkan peranan lebih besar dalam mengekalkan keselamatan rantau Indo-Pasifik.

Bagi menonjolkan kekuatan pakatan keselamatan AS–Jepun yang terjalin sejak 74 tahun lalu, jadual Trump turut merangkumi lawatan ke pangkalan tentera laut AS berhampiran Tokyo serta mengadakan pertemuan dengan Maharaja Naruhito dan Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi.

Selepas lawatan ke Jepun, Trump dijangka berangkat ke Korea Selatan, menjadikan kunjungan ini sebagai lawatan pertamanya ke Asia sejak memulakan penggal kedua sebagai presiden pada Januari lalu.

Bagaimanapun, kerajaan China masih belum mengesahkan lagi sebarang maklumat berhubung pertemuan Trump–Xi.

Trump turut mengesahkan beliau telah menerima jemputan untuk melawat China pada awal tahun depan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN