KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengecam sekeras-keras tindakan rejim Zionis yang menahan para aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk dalam kalangan rakyat Malaysia.
Yang Dipertua MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, adalah tidak wajar
sama sekali bagi sukarelawan yang menghulurkan bantuan kemanusiaan ditahan dan dihalang daripada melaksanakan misi mereka.
Titah Raja Muda Perlis itu, lebih mendukacitakan lagi sekiranya mereka diperlakukan dengan apa yang tidak sewajarnya.
“Tindakan ini jika benar, jelas bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan prinsip hak asasi manusia.
“Seluruh dunia kini sedang mengikuti rapat perkembangan semasa di Gaza yang kini menjadi perhatian semua pihak, khususnya berkenaan tindakan pihak Zionis yang menahan beberapa sukarelawan kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Palestin,” titah baginda selepas mempengerusikan persidangan MAIPs yang telah membincangkan mengenai perkembangan terkini sukarelawan GSF.
Baginda bertitah, seluruh masjid di Perlis telah melaksanakan bacaan Qunut Nazilah sejak 8 April 2025 sebagai tanda solidariti dan doa kepada saudara-saudara di Palestin.
“Kita menyeru agar umat Islam, khususnya rakyat Perlis, terus memperteguhkan doa, memperbanyakkan amal soleh serta bersatu hati dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ditindas,” titah baginda.
Baginda turut menyeru seluruh dunia tanpa mengira bangsa, agama dan negara agar berusaha sedaya upaya memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat, tanpa sebarang sekatan atau penindasan demi menyelamatkan nyawa dan meringankan penderitaan rakyat Palestin.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, kesabaran dan kemenangan kepada umat Islam di Palestin, serta melindungi para sukarelawan yang berjuang demi kemanusiaan,” titah baginda.-UTUSAN