PETALING JAYA: Sebarang acara atau majlis rasmi kerajaan tidak boleh dihidangkan minuman keras atau arak kerana ia jelas bertentangan dengan prinsip atau dasar kerajaan.
Perdana Menteri berkata, penjelasan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.
Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah memberi amaran keras kepada Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing dan kementerian itu supaya kesilapan sama tidak berulang lagi.
“Kami telah berikan peringatan keras kepada menteri dan kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini walaupun penjelasan itu adalah bahawa program berakhir, tetapi tidak wajar sama sekali,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu penganjuran majlis yang dikaitkan dengan aktiviti melibatkan arak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.
Katanya, walaupun majlis berkenaan dianjurkan pihak swasta, kerajaan tidak boleh berkompromi jika ia mempunyai kaitan dengan acara rasmi dan imej kerajaan.
“Semalam (Isnin) saya berjumpa dengan Datuk Seri Tiong King Sing dan telah memaklumkan kepadanya. Malah Perdana Menteri juga sudah membincangkan hal ini.
“Pendirian kita jelas, walaupun dikatakan majlis itu dianjurkan pihak swasta, jika ia berkait dengan acara kerajaan, kita tidak mahu perkara yang diharamkan menjadi satu aktiviti seolah-olah kita berkompromi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tegasnya lagi, kerajaan menghormati kepelbagaian agama, bangsa dan budaya di negara ini, namun sebarang bentuk aktiviti yang melibatkan sensitiviti tidak boleh menjadi sebahagian daripada program yang dikaitkan dengan kerajaan.
“Kita menghormati agama, bangsa dan budaya lain, tetapi perkara seperti ini mesti dihormati dan tidak boleh dikompromi,” katanya.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula menggesa penyedia lokasi Majlis Global Travel Meet (GTM) 2025 mendedahkan pihak sebenar yang menandatangani surat jaminan bagi penganjuran majlis berkenaan.
Katanya, pendedahan tersebut penting bagi menjelaskan sama ada Tourism Malaysia atau tiga persatuan industri pelancongan iaitu Malaysian Indian Travel & Tours Association (MITTA), Malaysian Inbound Chinese Association (MICA) dan Malaysia My 2nd Home Consultants Association (M2HCA) yang sebenarnya menjadi penganjur serta menanggung kos keseluruhan majlis tersebut.
“Saya ingin tahu, adakah benar tiga persatuan itu yang membayar semua perbelanjaan? Kos jamuan dianggarkan lebih RM260 seorang untuk 600 tetamu.
“Itu belum termasuk minuman keras yang dikatakan bernilai kira-kira RM80,000. Maka jumlah keseluruhan boleh mencecah hampir RM300,000,” katanya ketika sidang media di bangunan Parlimen semalam.
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) turut menggesa menterinya meletakkan jawatan susulan terdapat hidangan arak dalam majlis rasmi yang dihadiri oleh pegawai kerajaan.
Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata, tindakan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, malah lebih jelas lagi melanggar polisi, norma dan amalan kerajaan sedia ada yang menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
“Dasar kerajaan selama ini menetapkan bahawa sebarang majlis rasmi kerajaan tidak sepatutnya menghidangkan arak, khususnya apabila dihadiri pegawai kerajaan, sebagai tanda menghormati sensitiviti umat Islam dan masyarakat Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, MOTAC dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya mengambil iktibar daripada kejadian menghidangkan minuman arak pada acara rasmi kerajaan dan memastikan perkara seumpama ini tidak akan berulang.
Menurut MOTAC, pihaknya menerima teguran Perdana Menteri berhubung penganjuran majlis makan malam yang tular baru-baru ini.
“MOTAC dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.
“MOTAC juga akan memastikan setiap pelaksanaan program di bawah seliaannya mematuhi garis panduan dan etika yang telah ditetapkan,” katanya. – UTUSAN










