Tiada arahan tutup pondok, hanya penambahbaikan institusi - Yadim

Tiada arahan tutup pondok, hanya penambahbaikan institusi – Yadim

HASAN BAHROM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menolak dakwaan berhubung isu penutupan institusi pondok oleh kerajaan.

Yang Dipertuanya, Datuk Dr. Hasan Bahrom berkata, dakwaan yang tular kononnya kerajaan akan menutup institusi pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah adalah tidak benar.

“Maklumat yang disebarkan itu adalah tidak bertanggungjawab dan berpotensi menimbulkan salah faham besar dalam masyarakat terhadap usaha murni institusi agama. Ia juga dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian umat Islam.

“Tiada sebarang arahan penutupan pondok dikeluarkan. Sebaliknya, inisiatif yang sedang giat dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama adalah untuk memperkemas dan menambah baik sistem pendaftaran serta penarafan institusi pendidikan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, usaha berkenaan dilaksanakan bagi memastikan kebajikan pelajar, keselamatan prasarana serta mutu pengajian agama terus terpelihara pada tahap terbaik.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, Yadim turut memandang serius tindakan penyebaran maklumat palsu berkaitan isu sensitif yang bukan sahaja menjejaskan imej Islam, malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi agama di bawah pentadbiran kerajaan.

“Yadim menyeru agar masyarakat lebih berhati-hati menerima maklumat di media sosial dan merujuk hanya kepada saluran rasmi seperti Hal Ehwal Agama dan Jakim bagi memastikan fakta yang sahih.

“Yadim kekal komited memperkukuh peranan institusi pondok, madrasah dan tahfiz sebagai tunjang pendidikan Islam negara, selaras dengan gagasan Malaysia Madani yang menekankan aspek ilmu, akhlak dan perpaduan ummah melalui Jawatankuasa Kerja Pondok Malaysia,” katanya.

Penjelasan berhubung isu berkenaan dikeluarkan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN