KUALA LUMPUR: The Knights Award (TKA) Musim Ke-4 terus memberi penghormatan dan pengiktirafan tertinggi kepada 36 syarikat dan personaliti terkemuka dari seluruh dunia atas kejayaan luar biasa dalam bidang masing-masing.
Majlis berprestij itu turut memberi penghormatan kepada tokoh korporat yang menjadi tulang belakang kemajuan ekonomi serantau serta simbol inspirasi kepada masyarakat.
Presidennya, Dr. Zyro Wong berkata, pihaknya berbangga kerana platform itu telah berkembang menjadi pentas berpengaruh dan sumber inspirasi di peringkat global.
Katanya, setiap tahun, majlis ini bukan sahaja semakin meluas dari segi capaian, malah memberi impak besar sebagai mercu tanda kecemerlangan yang merentasi industri, budaya dan sempadan.
“Kebanyakan daripada mereka (pemenang) datang ke Malaysia buat pertama kali dan hal ini secara tidak langsung telah mempromosikan Malaysia di mata dunia.
“Saya sangat teruja kerana dapat menjadikan negara ini sebagai pentas global bagi ekonomi kreatif serta platform untuk mereka menyerlahkan bakat,” katanya kepada media selepas berakhirnya TKA musim ke-4 di ibu negara, baru-baru ini.
Zyro berkata, TKA bukan lagi sekadar sebuah acara sebaliknya telah menjadi sebuah pentas yang menghimpunkan tokoh dan inovator yang bersama-sama membentuk masa depan kemajuan global.
“Anugerah itu meraikan bukan sahaja pencapaian baharu tetapi juga legasi para penerima anugerah terdahulu yang terus memberi inspirasi kepada generasi seterusnya.
“Kisah mereka mengingatkan bahawa kejayaan bukan sesuatu yang mudah tetapi satu usaha berterusan yang memacu inovasi, memperkukuh komuniti dan mengangkat generasi,” katanya.
Sejak diperkenalkan tiga musim lalu, TKA telah meraikan lebih 150 tokoh dan organisasi dari pelbagai bidang, sekali gus mewujudkan platform elit bagi pengiktirafan antarabangsa. – UTUSAN









