Ketegasan PM dapat martabatkan Bahasa Kebangsaan - Utusan Malaysia

Ketegasan PM dapat martabatkan Bahasa Kebangsaan

MOHD. YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua surat rasmi yang dihantar kepada kerajaan diwajibkan menggunakan Bahasa Kebangsaan dapat memartabatkan semula Bahasa Kebangsaan dalam kalangan rakyat.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, pihaknya amat mengalu-alukan arahan Perdana Menteri itu memandangkan Bahasa Kebangsaan dilihat semakin dipinggirkan.

“Arahan Perdana Menteri memang tepat pada masanya kerana kita lihat ramai pihak yang tidak lagi mengutamakan Bahasa Kebangsaan dalam acara atau urusan rasmi mereka.

“Arahan ini boleh membantu memartabatkan semula Bahasa Kebangsaan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini,”katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri semalam memberi peringatan kepada jabatan kerajaan supaya tidak melayan sebarang surat yang diutus selain daripada Bahasa Kebangsaan.

Tegas Anwar, beliau turut mengarahkan agar surat itu dipulangkan semula jika arahan itu gagal dipenuhi tidak kira sama ada dari sektor swasta mahupun kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd. Yussof berkata, negara ini telah berpuluh tahun mencapai kemerdekaan, namun penggunaan Bahasa Kebangsaan belum lagi mencapai tahap optimum.

“Kita berharap semua agensi dan jabatan kerajaan dapat patuh dengan arahan ini kerana Bahasa Kebangsaan adalah bahasa rasmi negara.

“Perkara ini bukan melibatkan soal politik dan diharapkan semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat akur untuk memartabatkan kembali Bahasa Kebangsaan,” katanya.

Tambahnya, beliau juga mencadangkan mana-mana agensi atau jabatan kerajaan yang tidak mematuhi arahan Perdana Menteri itu dikenakan tindakan sewajarnya.

Dalam pada itu, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara juga perlu bertegas dengan penggunaan nama-nama taman perumahan baharu yang didapati tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan.

”Kita dapati sekarang banyak taman perumahan yang menggunakan nama selain Bahasa Kebangsaan dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku jika PBT bertegas dengan pihak pemaju,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya