KUALA LUMPUR: Thailand menyokong cadangan supaya negara-negara ASEAN menghantar pemerhati bagi memantau pelaksanaan pilihan raya di Myanmar bagi memastikan proses tersebut dijalankan dengan telus, inklusif dan selamat.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura berkata, pendirian itu selaras dengan usaha rantau ini untuk memainkan peranan yang konstruktif dalam membantu Myanmar mencapai keamanan yang berkekalan.
“Thailand secara konsisten menyokong pelaksanaan pilihan raya yang inklusif di Myanmar. Kami melihatnya sebagai sebahagian daripada proses damai yang mampan dan keputusan dalaman kerajaan Myanmar.
“Bagi mencapai matlamat tersebut, Menteri Luar kami telah membincangkan bersama rakan-rakan ASEAN mengenai keperluan untuk berinteraksi secara langsung dengan Myanmar termasuk kemungkinan menghantar pemerhati daripada negara-negara ASEAN,” katanya ketika sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini hari ini.
Nikorndej berkata, kehadiran pemerhati tidak membawa maksud pengiktirafan terhadap keputusan pilihan raya, sebaliknya bertujuan menjamin ketelusan serta keselamatan proses pengundian.
“Memerhati tidak bermaksud mengiktiraf. Pemerhati akan berada di sana untuk memastikan pilihan raya berlangsung secara adil dan inklusif, bukannya memberi pengiktirafan kepada hasil pilihan raya itu,” jelasnya.
Mengulas penyertaan Myanmar dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN selepas pilihan raya, beliau berkata, Thailand berpandangan proses pilihan raya hanyalah sebahagian daripada pelan damai yang lebih besar.
Katanya, Thailand menyokong cadangan melanjutkan tempoh pelantikan Utusan Khas ASEAN ke Myanmar bagi memastikan kesinambungan dan penglibatan berterusan dalam proses damai negara tersebut.
“Cadangan ini masih dibincangkan dan belum dimuktamadkan, namun mendapat sokongan umum dalam kalangan negara anggota ASEAN,” katanya. – UTUSAN










