KUALA LUMPUR: Thailand dan Kemboja dijangka menandatangani Deklarasi Bersama Hubungan Thailand–Kemboja esok dengan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai saksi.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura berkata, majlis bersejarah itu menandakan langkah baharu dalam usaha kedua-dua negara memulihkan semula hubungan diplomatik yang tegang sebelum ini.
“Kami amat menghargai peranan yang dimainkan oleh Presiden AS. Sokongan beliau terhadap proses damai ini sangat terpuji dan kami menantikan majlis penandatanganan deklarasi bersama esok dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia sebagai saksi.
“Perdana Menteri Thailand (Anutin Charnvirakul) juga dijangka hadir ke majlis berkenaan walaupun jadual rasmi masih dalam penyusunan,” katanya ketika sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, di sini hari ini.
Sebelum ini, Anutin dilaporkan mengangguhkan lawatannya ke Malaysia menjelang Sidang Kemuncak ASEAN hari ini, berikutan kemangkatan bonda Raja Thailand, Ratu Sirikit Kitiyakara semalam.
Nikorndej berkata, Anutin dijangka tiba lewat malam ini atau awal pagi esok sebelum majlis tandatangan dan akan bergegas pulang ke Thailand bagi menghadiri istiadat rasmi.
Katanya, deklarasi bersama itu juga menunjukkan kematangan kedua-dua negara dalam menyelesaikan pertikaian melalui mekanisme dua hala.
“Kami berharap dengan kehadiran saksi antarabangsa ini, Kemboja akan menunjukkan komitmen untuk memastikan keamanan serta kestabilan berkekalan di kawasan sempadan,” katanya. – UTUSAN










