Tanah Kampung Sungai Baru boleh diklasifikasi sebagai MAS

Tanah Kampung Sungai Baru boleh diklasifikasi sebagai MAS

Tanah Kampung Sungai Baru
TANAH Kampung Sungai Baru yang terbentuk selepas Sungai Klang diluruskan pada 1967 boleh diklasifikasikan sebagai tanah MAS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda disembah maklum, hari ini berkenaan kenyataan Ahli Dewan di-Raja Selangor, Tan Sri Ambrin Buang berhubung status tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Menerusi kenyataan tersebut, bekas Ketua Audit Negara itu berkata, tanah seluas 16.31 hektar di sebelah kanan tebing Sungai Klang di situ termasuk di bawah definisi pewartaan pada 16 Februari 1932 Tanah Perkampungan Pertanian Melayu (MAS).

Ambrin berkata, selepas tanah Kampung Bharu dikurniakan oleh Sultan Selangor Ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah pada 12 Januari 1900, kerajaan negeri kemudian meluruskan Sungai Klang yang melintasi kawasan tersebut.

“Kerajaan negeri meluruskan Sungai Klang yang melintasi Kampung Bharu (kini Kampung Sungai Baru) daripada keadaan asalnya yang berbengkang-bengkok bagi mengelak kejadian banjir daripada terus berlaku.

“Ia menyebabkan terbitan tanah baru seluas 16.31 hektar selepas projek meluruskan sungai disipakan. Dalam masa sama tanah lebihan terbentuk itu kedudukannya terletak di sebelah tebing kanan Sungai Klang, sekali gus termasuk di bawah definisi pewartaan tanah MAS sebagai the right bank of Klang River,” katanya.

Beliau yang juga anak jati Kampung Bharu itu berkata, justeru, tanah Kampung Sungai Baru itu boleh diklasifikasikan sebagai tanah MAS yang mengambil kira hasrat Sultan Selangor ketika itu agar orang Melayu memiliki tanah dan penempatan di pusat bandar Kuala Lumpur.

“Di samping itu, fakta untuk mengklasifikasikan sebagai tanah MAS untuk orang Melayu itu boleh diperkuatkan dengan melihat kepada surat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertarikh 5 Mei 1970.

“Ia secara jelas menyatakan tanah Kampung Sungai Baru mempunyai syarat sekatan tanah yang menyatakan tanah yang dikeluarkan milik itu tidak boleh ditukar milik kepada bukan Melayu. Cuma ia berkemungkinan belum lagi diterjemahkan untuk menjadi sebahagian daripada warta MAS,” jelas bekas Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Bahru (PKB) itu.

Malah, tambah Ambrin lagi, sekarang adalah masa yang sesuai supaya Kerajaan Persekutuan membetulkan semula keadaan dengan memastikan tanah itu diwartakan sebagai tanah MAS bagi tujuan penempatan orang Melayu.

“Bersesuaian dengan situasi semasa dan demi menjamin hak kepentingan orang Melayu terjamin. Kedudukan tanah itu sangat strategik dan bernilai tinggi, jika pembangunan dilakukan dan penjualan terbuka kepada orang bukan Melayu, maka orang Melayu tidak akan mampu untuk membeli dan memilikinya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN