SPRM sedia siasat projek Aerotrain KLIA jika wujud rasuah

SPRM sedia siasat projek Aerotrain KLIA jika wujud rasuah

AZAM Baki ketika sidang akhbar selepas Majlis Mesyuarat Negara-Negara ASEAN Menentang Rasuah ke-21 (ASEAN-PAC) di Petaling Jaya, hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia membuka kertas siasatan berhubung projek Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekiranya terdapat petunjuk berlakunya salah guna kuasa atau unsur rasuah dalam pelaksanaannya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini pihaknya belum memulakan sebarang siasatan terhadap projek berkenaan yang menelan kos ratusan juta ringgit itu.

“Buat masa ini, SPRM tidak menerima sebarang aduan atau maklumat berhubung perkara tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Mesyuarat Negara-Negara ASEAN Menentang Rasuah ke-21 (ASEAN-PAC), di sini hari ini.

Menurut Azam, sebarang keputusan untuk memulakan siasatan akan dibuat sekiranya terdapat bukti jelas wujud pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa SPRM.

“Sama ada terdapat kesalahan atau tidak bergantung kepada jenis pelanggaran. 

“Tidak semua masalah perlu diletakkan di bahu SPRM kerana ada isu melibatkan aspek tadbir urus dan pengurusan,” katanya. 

Katanya, SPRM akan menyiasat perkara berkenaan jika perkata tersebut dalam bidang kuasa mereka. 

Semalam, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mengesahkan perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1 KLIA sekali lagi mengalami gangguan.

MAHB dalam kenyataannya memaklumkan sedang menunggu laporan serta penjelasan lanjut daripada kontraktor, IJM-PESTEC Joint Venture (IPJV) dan Alstom berhubung kejadian berkenaan serta insiden terdahulu pada 15 Oktober lalu.

Menurut syarikat itu, masalah yang berlaku dipercayai berpunca daripada sistem kuasa yang berada di bawah tanggungjawab IPJV.

Pada hari sama, Kementerian Pengangkutan turut mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka kertas siasatan terhadap MAHB berikutan siri gangguan perkhidmatan Aerotrain di KLIA.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu perlu bagi memastikan pihak pengendali bertanggungjawab serta mengekalkan tahap perkhidmatan terbaik kepada pengguna lapangan terbang.

“Pada peringkat awal operasi Aerotrain, kementerian memahami MAHB memerlukan masa untuk menyesuaikan diri kerana masih dalam fasa penstabilan.

“Namun, selepas beberapa bulan beroperasi, kementerian melalui APAD akan mengambil tindakan tegas terhadap MAHB bagi setiap gangguan perkhidmatan yang berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN