PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas bungkusan bunga ganja bernilai RM254,000 yang disorokan dalam guni dan digantung dekat sebatang pokok salak di depan sebuah rumah di Tok Pelanduk, di sini semalam.
Rampasan dadah seberat 7.05 kilogram itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 11.30 pagi.
Pemangku Komander Briged Tenggara Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, rampasan itu hasil maklumat yang diterima pihaknya berkaitan dengan kegiatan pengedaran dadah di rumah tersebut.
Katanya, semasa serbuan PGA mendapati rumah tersebut tidak berpenghuni.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan luar rumah itu membawa kepada penemuan satu guni yang mengandungi 7.05 kg bunga ganja.
“Pihak polis menunggu di kawasan tersebut selama lima jam, namun tiada individu yang datang ke rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ijid Landu memberitahu, kesemua dadah tersebut dibawa Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN










