KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Choong Hon Jian menegaskan dia enggan berputih mata lagi pada musim ini susulan pulih sepenuhnya menjelang Terbuka Malaysia 2026 yang akan bermula minggu depan.
Hon Jian yang mengalami kecederaan koyak otot abdomen ketika separuh akhir di Terbuka Arctic di Finland tahun lalu terpaksa diketepikan daripada beberapa kejohanan penting menjelang penutup 2025.
Lebih menyedihkan, beliau turut tidak menyertai kejohanan pada separuh tahun awal lalu berikutan pasangannya, Muhammad Haikal Nazri turut mengalami kecederaan pinggul.
“Bagi saya hanya perlu bersedia dengan beberapa perkara. Haikal minggu lalu ada sedikit terkehel pada kaki kanannya. Namun dia kata boleh bermain (Terbuka Malaysia).
“Selepas itu baharu kita lihat dalam beberapa hari ini untuk melihat keadaannya,” kata Hon Jian kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, kelmarin.
Hon Jian juga mendedahkan proses pemulihan abdomen memerlukan masa dan kekuatan otot yang lebih, termasuk latihan rehabilitasi dan pre rehabilitasi bagi mengelak kecederaan berulang.
“Sasaran saya jangan cedera dahulu musim ini. Kalau tidak cedera saya boleh main semua kejohanan bersama Haikal,” katanya.
Terbuka Malaysia yang akan bermula 6 Januari ini menyaksikan mereka bakal berdepan ujian getir apabila dijadualkan menentang pasangan utama England, Ben Lane-Sean Vendy. – UTUSAN










