PETALING JAYA: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) diseru memperkukuh kerjasama antarabangsa bersama 91 negara yang mempunyai persatuan silat bagi mengangkat seni mempertahankan diri warisan Melayu itu ke pentas Sukan Olimpik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh kedudukan silat di peringkat antarabangsa dan memastikan seni bela diri warisan Melayu itu diiktiraf sebagai acara sukan global.
Katanya, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang juga Presiden Persekutuan Silat Antarabangsa, diyakini mampu memimpin usaha berkenaan bersama Presiden Pesaka dan presiden persatuan silat dari seluruh dunia.
“Saya yakin Presiden Prabowo akan dapat bersama-sama dengan Presiden Pesaka dan lain-lain Presiden Persatuan Silat di semua benua yang mewakili 91 negara ini agar dapat membawa perkara ini.
“Kita mengharapkan lebih banyak lagi negara yang akan mempunyai persatuan pesilat maka mungkin Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) nanti boleh mempertimbangkan untuk silat dibawa sebagai satu daripada acara dipertandingkan di peringkat Olimpik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Himpunan Silat PESAKA Malaysia dan Kejohanan Silat Kebangsaan Kali Ke-21, di N9 Arena, Nilai, Seremban petang tadi.
Tambah Ahmad Zahid, ketika ini terdapat 414 persatuan atau perguruan silat berdaftar di seluruh negara dan Malaysia bersedia memainkan peranan memperluas pengiktirafan seni mempertahankan diri itu ke peringkat global. – UTUSAN










