KUALA LUMPUR: Persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berada pada tahap memuaskan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, mesyuarat peringkat pegawai tinggi kanan ASEAN telah bermula hari ini sementara mesyuarat peringkat menteri dijadualkan berlangsung bermula esok.
“Setakat ini saya amat berpuas hati dengan persiapan tempat dan infrastruktur bagi penganjuran sidang kemuncak kali ini,” katanya selepas meninjau persiapan terakhir di KLCC, hari ini.
Mohamad berkata, sidang kemuncak yang akan berlangsung dari 25 hingga 28 Oktober itu akan menghimpunkan ketua-ketua negara ASEAN, pemimpin negara rakan dialog serta negara jemputan.
Beliau berkata, pihaknya mahu memastikan semua persiapan berjalan lancar seperti sidang kemuncak sebelum ini.
“Cuma kali ini, ada kehadiran beberapa personaliti penting yang memerlukan perhatian keselamatan lebih tinggi seperti Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, China Li Qiang dan pemimpin-pemimpin lain,” katanya.
Mengulas mengenai aspek keselamatan, beliau yakin dengan persediaan pihak berkuasa namun meminta kerjasama orang ramai sepanjang tempoh sidang berlangsung.
“Alhamdulillah, keselamatan berada pada tahap baik. Cuma saya mohon kerjasama semua pihak kerana akan ada beberapa sekatan jalan terutamanya bagi laluan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Pangkalan Udara Subang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Saya minta rakyat bersabar sekiranya perjalanan sedikit terganggu pada 25 dan 26 Oktober, ketika ketibaan para pemimpin,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan menghimpunkan pemimpin tertinggi ASEAN bersama negara rakan dialog seperti China, Jepun, Korea Selatan, Kesatuan Eropah (EU) dan AS.-UTUSAN.










