KOTA BHARU: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjadikan ketibaan ketua-ketua negara serta delegasi sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang sedang berlangsung Kuala Lumpur ketika ini sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, ia dijadikan sebagai pemula bagi membolehkan MAHB memberikan khidmat terbaik kepada pelancongan asing yang berkunjung ke negara ini.
“Alhamdulillah perjalanan untuk Sidang Kemuncak ASEAN kali ini lancar dan seluruh kakitangan MAHB memberikan perkhidmatan terbaik.
“Ketibaan lancar dan kita harap untuk pelepasan sebaik sahaja sidang ini amat akan berjalan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program MYAirportCARES Lestari Seni Majlis Pemerkasaan dan Pemuliharaan Rebana Ubi Serta Sambutan Penerbangan Sulung Scoot dari Singapura ke Kota Bharu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Rosnan Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Sdn.Bhd Kamaruzzaman Razali.
Mohd. Izani memberitahu, MAHB memberi jaminan untuk menawarkan perkhidmatan terbaik sepanjang persidangan berlangsung.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).-UTUSAN










