PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda enam negeri termasuk ibu negara sehingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, antara kawasan terjejas ialah di Kelantan, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur termasuk beberapa daerah di Sabah dan Sarawak.
“Di Kelantan, daerah terkesan termasuk Tumpat, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah manakala Terengganu membabitkan daerah Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu serta Selangor di Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Petaling.
“Selain itu, kawasan di Sarawak yang dijangka terkesan ialah Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah, Kapit (Song) dan Bintulu (Bintulu dan Sebauh) manakala di Sabah melibatkan daerah Tawau (Kunak, Semporna dan Lahad Datu),” katanya.
Selain itu, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” katanya. – UTUSAN










