Ribuan ikan mati di Sungai Bera

Ribuan ikan mati di Sungai Bera

KEJADIAN ribuan ikan di Sungai Bera, Pahang mati sejak Jumaat lalu dipercayai kesan sisa kilang di pinggir sungai berkenaan adalah yang terburuk setakat ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Nelayan darat dan pemancing tempatan mendesak tindakan tegas pihak berkuasa bagi menoktahkan pencemaran Sungai Bera, di sini yang saban tahun mengakibatkan kematian ikan tetapi tidak pernah diberi penyelesaian tuntas.

Kejadian bermula 26 September lalu didakwa paling buruk apabila lebih 5,000 ikan pelbagai spesies termasuk baung, patin dan lampam mati serta timbul di kawasan Lubuk Tembangan serta jajaran utama Sungai Bera yang selama ini terkenal sebagai lubuk ikan eksotik.

Seorang pemancing, Abdul Ghafar Abdul Ghani, 48, berkata, dia menyedari kejadian tersebut ketika turun memancing seorang pada Ahad lalu sekitar pukul 8 malam.

“Saya sudah lebih 10 tahun memancing di Sungai Bera. Malam itu saya dapat maklumat ikan mabuk dan mati, ada yang kata sebab air kilang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Abdul Ghafar, pada sebelah petang hari yang sama, rakan-rakannya ternampak penduduk kampung menyauk ikan berhampiran Loji Air Bera 2 walaupun mengetahui risiko pencemaran.

“Kejadian ini berlaku setiap tahun. Kalau bukan sebab tuba, mesti sebab air kilang. Banyak aduan dibuat tapi sekadar melepas batok di tangga. Bukti jelas ada, tapi pihak bertanggungjawab tetap terlepas,” dakwanya.

Difahamkan, pencemaran dipercayai bermula di Sungai Serting berhampiran Kampung Lubuk Tembangan sebelum menular ke Sungai Bera.

Sementara itu, Ketua Pe­ngarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, kandungan oksigen terlarut rendah dan tahap ammonia tinggi dikenal pasti punca utama kematian pelbagai spesies ikan di Sungai Bera, Bera, sejak Jumaat lalu.

Menurutnya, analisis awal sampel air yang dihantar ke Makmal Biosekuriti Perikanan di Kuantan menunjukkan paras oksigen di kawasan itu berada di bawah tahap normal untuk hidupan akuatik.

“Apabila oksigen terlarut terlalu rendah, ikan tidak dapat bernafas dengan baik, manakala kadar amonia yang tinggi pula meningkatkan tekanan ekosistem sehingga menyebabkan kematian ikan secara berkelompok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×