Rendang maman kebanggaan Luak Air Kuning

Rendang maman kebanggaan Luak Air Kuning

ISMAIL Shamsudin (berdiri kanan) menunjukkan rendang maman burung puyuh yang merupakan masakan istimewa masyarakat setempat dari Luak Air Kuning. – UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Rendang maman tidak asing buat penduduk di Negeri Sembilan kerana sering disajikan dalam majlis keraian dan sambutan Hari Raya.

Bagi penduduk Luak Air Kuning, hidangan tradisional itu merupakan lambang identiti dan menjadi kebanggaan penduduk di kawasan ber­kenaan.

Asitah Abdullah Suhaimi, 37, dari Air Kuning Selatan, Gemencheh, berkata, rendang maman dimasak menggunakan daun maman bersama dengan daging atau burung puyuh.

“Kalau campur daging, ra­sanya lain dengan campur burung puyuh. Setiap kali maj­lis, ada perbezaan resipi ikut keluarga masing-masing. Kadang-kadang kami juga sediakan wajik kampung campur durian sebagai pelengkap hidangan,” katanya ketika ditemui pada program Perpatih Fest 2025 di Muzium Negeri di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Dato’ Perdana Luak Air Kuning, Ismail Shamsudin, 63, berkata, penyediaan rendang maman memerlukan masa dan kesabaran kerana proses memasaknya mengambil masa kira-kira dua jam sehingga kering sepenuhnya.

“Kalau sekilo maman, guna lima ekor burung puyuh dan satu kilo santan. Masak cara kampung memang lama, tapi hasilnya sedap dimakan dengan nasi putih atau nasi minyak,” katanya.

Menurutnya, rendang maman menjadi antara menu wajib setiap kali majlis adat diadakan di kawasan Luak Air Kuning dan masih dikekalkan sebagai tradisi masyarakat setempat.

Katanya, usaha mempromosikan masakan tradisional melalui penganjuran Perpatih Fest amat penting bagi memastikan generasi muda terus mengenali dan menghargai warisan kulinari Adat Perpatih yang unik.

“Kita tak mahu masakan tradisi seperti ini pupus. Ia sebahagian daripada jati diri masyarakat Negeri Sembilan yang kaya dengan adat dan budaya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×