PETALING JAYA: Rapid KL terus memperkukuh langkah penambahbaikan menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan operasi dan keandalan perkhidmatan rel di Lembah Klang, termasuk memperkenalkan 27 set tren baharu bagi Laluan Kelana Jaya.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd., Nor Azmi Mohd. Yusof berkata, set tren baharu itu akan menggantikan tren lama yang telah mencapai tempoh hayat penggunaannya, sekali gus meningkatkan tahap keselesaan serta keselamatan pengguna.
“Projek perolehan 27 set tren baharu ini telah siap sepenuhnya dan digunakan dalam operasi. Langkah ini juga disokong oleh kerajaan dalam usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara,” katanya pada sesi taklimat dan sidang media Rapid KL di sini, hari ini.
Menurut Nor Azmi, Rapid KL turut memandang serius beberapa insiden gangguan perkhidmatan yang berlaku baru-baru ini melibatkan Laluan Putrajaya (23 September), Laluan Kelana Jaya (9 Oktober) dan Laluan Ampang/Sri Petaling (13 Oktober).
Beliau berkata, langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan ialah menambah bilangan bas perantara bagi memastikan pengguna mempunyai alternatif pengangkutan semasa berlakunya gangguan perkhidmatan rel.
“Rapid KL turut menyemak semula penugasan kakitangan di stesen-stesen sibuk dan kritikal bagi memastikan pengurusan orang ramai berjalan lancar, terutama pada waktu puncak.
“Selain itu, sistem penyampaian maklumat kepada pengguna turut dipertingkat melalui hebahan laluan alternatif serta pemberitahuan awal tentang sebarang gangguan perkhidmatan.
“Latihan pengurusan krisis juga dijalankan secara berkala bagi memperkukuh kesiapsiagaan petugas barisan hadapan termasuk kakitangan operasi dan polis bantuan dalam menangani sebarang situasi kecemasan dengan lebih berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Rapid KL kini dalam proses pemasangan penghadang sementara (temporary barrier) di platform Laluan Ampang/Sri Petaling dan Kelana Jaya bagi meningkatkan keselamatan penumpang sementara menunggu pelaksanaan penuh projek Platform Screen Doors (PSD).
Menurut Nor Azmi, kerja-kerja fizikal pemasangan akan bermula selepas kontrak diserahkan hujung tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 16 bulan.
“Sebanyak 70 peratus kawasan platform akan dilengkapi dengan penghadang sementara bagi mengurangkan risiko penumpang terjatuh ke landasan,” jelasnya.
Rapid KL turut memaklumkan bahawa pemasangan Platform Screen Doors di Laluan Monorel KL telah siap sepenuhnya, manakala naik taraf sistem semboyan Laluan Kelana Jaya sedang dilaksanakan untuk meningkatkan keselamatan serta mengurangkan risiko gangguan operasi.
Dalam pada itu, purata perjalanan pengguna harian bagi perkhidmatan rel Rapid KL mencatatkan 1.028 juta penumpang setakat September 2025, melebihi sasaran tahunan sebanyak 992,000, berbanding purata 907,000 pengguna harian pada tahun lalu.
Pencapaian ini sejajar dengan sasaran Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk mencapai 1.35 juta perjalanan penumpang sehari menjelang Disember 2025, hasil pelbagai inisiatif strategik Rapid KL dan kerajaan dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Mengulas persediaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Nor Azmi berkata, operasi tren Rapid KL akan berjalan seperti biasa sepanjang tempoh berkenaan.
Namun, pihaknya bersedia menambah bilangan tren sekiranya terdapat peningkatan jumlah penumpang di laluan utama yang terlibat.
“Sekiranya diperlukan, kekerapan tren pada waktu puncak akan diselaraskan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang dan mengurangkan kesesakan. Kami mahu memudahkan orang ramai menggunakan perkhidmatan tren sepanjang tempoh acara berlangsung,” katanya. – UTUSAN









