KOTA KINABALU: Rakan baik pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu dia terjaga dari tidur pada pukul 3 pagi, 16 Julai lalu selepas terdengar bunyi hentakan di luar dorm kakaknya (A0-0) yang terletak di aras bawah Blok A, Rabiatul Adawiyah.
Dia bagaimanapun tidak keluar dari bilik berkenaan untuk memeriksa punca bunyi berkenaan dan hanya sambung tidur.
Saksi kanak-kanak ke-24 itu kemudian dikejutkan oleh seorang senior yang juga rakan sebilik kakaknya yang menyatakan kepadanya ‘bangunlah, kawan kau itu’.
Senior terbabit bagaimanapun hanya mendiamkan diri selepas ditanya ‘kenapa’ oleh saksi berkenaan menyebabkan dia terus ke tandas untuk mandi.
Ketika berjalan menuju ke tandas, saksi inkues ke-33 itu memberitahu dia melihat banyak kesan darah di lantai aras bawah tepi longkang di hadapan dorm kakaknya itu namun pada ketika itu dia tidak berbuat apa-apa.
Hanya selepas pulang daripada tandas, senior yang mengejutkan dia memberitahu Zara Qairina telah terjatuh dari atas bangunan ke bawah dan telah dihantar ke hospital.
Sejak prosiding inkues kematian Zara Qairina bermula pada 3 September lalu, ini merupakan kali kedua saksi kanak-kanak memberitahu ada terdengar bunyi jatuh pada awal pagi 16 Julai lalu.
Pada 16 Oktober lalu, saksi kanak-kanak ke-15 yang juga individu pertama menemukan Zara Qairina dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri memberitahu dia ada terdengar bunyi seperti benda jatuh.
Saksi inkues ke-24 tu bagaimanapun tidak dapat memastikan apakah yang jatuh kerana berada dalam keadaan mamai.
Terdahulu, saksi itu memberitahu Mahkamah Koroner bahawa Zara Qairina tetap berada dalam keadaan ceria, `happy’ dan tidak menunjukkan dirinya dalam keadaan tertekan atau stress walaupun sering diejek berkait perangai dan bentuk tubuh badannya (body shaming).
Tambah saksi, dia dan Zara Qairina berkawan baik sejak awal persekolahan dan dia sering berada di dorm Zara Qairina (A3-5) dan mereka sering tidur di dorm saksi berkenaan (A3-1).
Pada malam 15 Julai lalu, saksi bagaimanapun memutuskan untuk tidur di dorm kakaknya.
Selain itu, saksi itu menyatakan, hampir setiap hari Zara Qairina diejek dan dia sendiri mendengar seorang pelajar tingkatan satu sekolah terbabit yang mengatakan ‘gemuk la ko nih’ terhadap rakan baiknya itu namun remaja terbabit hanya membalas ‘Bah iya lah’ sambil ketawa.
Saksi tersebut turut memberitahu, dia pernah terdengar seorang pelajar lelaki mengejek Zara Qairina dengan memanggil remaja terbabit menggunakan nama bapanya (Mahathir) tetapi rakannya itu tetap tidak menunjukkan sebarang rasa marah.
Sebaliknya, saksi itu memberitahu, Zara Qairina hanya meluahkan perasaannya dengan menulis di dalam diari.
Bagaimanapun, beberapa minggu sebelum kejadian malang itu, rakan baik Zara Qairina itu memberitahu, remaja terbabit ada menunjukkan tingkah laku pelik.
Katanya, dua minggu sebelum kejadian, Zara Qairina dilihat seperti acuh tidak acuh dengannya dan kadang kala dilihat ketawa sendiri atau marah secara tiba-tiba ketika menulis di diari.
Saksi itu turut memberitahu, sekitar Mac lalu, Zara Qairina memberitahu dia (Zara Qairina) pernah melukakan dirinya sendiri kerana stres akibat dipulau oleh pelajar-pelajar lain dan turut menunjukkan parut di lengan.
Remaja terbabit bagaimanapun memberitahu saksi, bahawa dia tidak lagi melakukan perbuatan tersebut. Prosiding inkues yang memasuki hari ke-29 hari ini, bersambung esok. – UTUSAN










