PRN Sabah: PN umum calon dua minggu lagi - Utusan Malaysia

PRN Sabah: PN umum calon dua minggu lagi

MOHD. Amar Nik Abdullah semasa menyampaikan  Ceramah Umum Sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kelantan dan 35 Tahun Membangun Bersama Islam Peringkat Kawasan Pengkalan Chepa, Kelantan malam tadi-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumumkan senarai calon dan kerusi yang akan ditandingi mereka pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah dalam tempoh dua minggu lagi.

Naib Presidennya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, agihan kerusi parti itu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih belum dimuktamadkan dan proses perundingan sedang berjalan.

“Hal ini kerana berlaku pertindihan melibatkan beberapa kerusi. Jadi belum dimuktamadkan lagi dan kita perlu tentukan kerusi terlebih dahulu, baru boleh kemukakan calon.

“Ia bagi menggelakan kita salah meletakan calon untuk kerusi tersebut. Sebab itu kita perlu selesaikan agihan kerusi terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Umum Sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kelantan dan 35 Tahun Membangun Bersama Islam Peringkat Kawasan Pengkalan Chepa di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Amar mengakui kerusi Karambunai, Sungai Sibuga dan Tanjong Keramat menjadi antara 12 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi Pas pada PRN Sabah nanti.

Katanya, Pas menyasarkan untuk menang satu kerusi DUN Sabah, namun berpandukan kepada perkembangan semasa parti itu mempunyai peluang yang cerah untuk menang.

“Isu-isu semasa seperti kes Zara Qairina dan rasuah melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) memberi kesan besar, terutama dalam kalangan pengundi muda. Pengundi lama mungkin tidak terkesan, tetapi pengundi muda di Sabah kini semakin ramai dan mereka ini yang akan buat perubahan,” ujarnya.

Utusan Malaysia 16 Oktober lalu melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada 29 November ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 15 November manakala tarikh mengundi awal pula pada 25 November.

Katanya, mesyuarat diadakan susulan SPR menerima pemakluman rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Oktober lalu.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) menyasarkan untuk bertanding di 36 daripada 73 kerusi pada PRN17 Sabah sekali gus memberi bayangan sedia untuk mentadbir negeri berkenaan.

Ketua Whipnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN sedang meneliti individu yang layak untuk diberikan mandat sebagai calon pada PRN itu nanti.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN