Polis terima laporan audio tular didakwa mirip MB Perlis dipercayai hina Raja - Utusan Malaysia

Polis terima laporan audio tular didakwa mirip MB Perlis dipercayai hina Raja

Ahmad Mohsin Md Rodi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Polis menerima satu laporan berkaitan rakaman suara didakwa mirip Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang dipercayai mengandungi kenyataan berunsur fitnah, penipuan serta penghinaan terhadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima laporan itu yang dibuat oleh Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Arau, Hazalan Haron kira-kira pada pukul 5.30 petang.

Beliau berkata, pengadu bertindak membuat laporan itu selepas melihat penularan video mengandungi rakaman suara berkenaan menerusi laman TikTok sekitar pukul 11.30 pagi.

“Kenyataan yang dikeluarkan menerusi rakaman tersebut dipercayai mengandungi unsur fitnah, penipuan serta penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis.

“Kandungan rakaman itu telah disebarkan secara terbuka menerusi beberapa platform media sosial dan mengandungi maklumat yang tidak benar serta boleh menjejaskan maruah, reputasi dan Institusi Diraja Negeri Perlis,” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pergerakan Pemuda UMNO negeri membuat laporan polis berhubung penularan satu klip rakaman suara mirip suara Menteri Besar yang didakwa menyentuh perihal perbincangan peribadi antara beliau dengan Raja Perlis.

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Ahmad Nazrin Abdul Aziz berkata, penularan rakaman berkenaan menyentuh perihal perbincangan peribadi antara Menteri Besar dengan Raja Perlis berkaitan urusan pelantikan ketua jabatan dan penjawat awam di negeri ini serta beberapa perbincangan lain yang sepatutnya sulit.

“Pemuda UMNO membuat laporan ini bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat sama ada tindakan berkenaan melibatkan pelanggaran undang-undang termasuk Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

“Tindakan mendedahkan perbincangan itu adalah amat tidak wajar berikutan boleh menimbulkan tanggapan bahawa institusi diraja terlibat dalam urusan pentadbiran dan politik negeri. Hal ini juga boleh menjejaskan imej kemuliaan dan kedaulatan institusi diraja yang seharusnya kekal bebas daripada sebarang pengaruh politik,” katanya.

Tambahnya, laporan dibuat itu bukannya atas kepentingan politik mana-mana pihak namun lebih kepada tanggungjawab moral dalam mempertahankan institusi diraja.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN