Pesakit buah pinggang perlukan bantuan

Pesakit buah pinggang perlukan bantuan

SUFFIAN Shadan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dalam Ayer Baloi, Pontian, Johor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itu nasib Suffian Shadan, 47, yang terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu van sekolah akibat jangkitan kuman pada kaki serta sakit jantung dan kini menghidap penyakit buah pinggang tahap empat pula.

Disebabkan buah pinggang­nya tidak lagi berfungsi, dia kini mendapatkan khidmat dialisis di Hospital Pontian dengan bayaran RM13 sehari.

Menurut Suffian, sebelum ini dia membuat ‘tapak’ dengan harga RM3,000 yang ditanggung oleh Baitumal Pontian di sebuah hospital swasta di Johor Bahru.

“Kedua-dua orang tua saya telah meninggal dunia, saya tidak berkahwin dan menjadi pemandu van sekolah pada 2023.

Namun, setelah menghidap jangkitan kuman pada kaki dan serangan penyakit jantung, saya terpaksa berhenti kerja,” katanya di rumahnya di Kampung Dalam Ayer Baloi di sini.

Tambah Sufian, dia kini bergantung kepada pendapatan sewa rumah kedai milik arwah bapanya sebanyak RM1,000 sebulan di Taman Seri Pulai, Johor Bahru namun berkongsi dengan adik beradik yang lain.

“Saya kini tinggal menyewa sebanyak RM400 sebulan di Pontian setelah berpindah ke sini pada tahun lalu,” katanya.

Katanya, memandangkan kekangan kewangan yang dihadapi, dia hanya makan sehari sekali, sama ada memasak sendiri mahupun membeli di luar jika tidak sempat selepas balik dari rawatan dialisis.

Menurut Suffian, masalah kesihatan dihadapinya kini tidak mengizinkannya untuk bekerja seperti sebelum ini.

“Saya sedang memohon Bantuan Sara Hidup dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang akan digunakan bagi menampung perbelanjaan dan ketika mendapat rawatan dialisis,” katanya.

Sementara itu pihak Kariah Surau Kampung Dalam juga telah mengambil inisiatif dengan menyampaikan sumbangan yang dikumpul sebanyak RM550 kepada Suffian.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghubunginya di nombor telefon 012-7925926 atau ke alamat rumah Lot 937 A, Lorong Basri, Kampung Dalam Ayer Baloi atau menyalurkan bantuan menerusi akaun bank 101208575957 (Maybank).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×