KANGAR: Pemecatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dikaitkan dengan kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilihat permulaan kepada perpecahan besar-besaran dalam parti tersebut.
Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, pemecatan Wan Saiful itu tidak boleh dilihat sebagai tindakan terhadap individu, sebaliknya Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dianggap mewakili satu gerakan yang besar dan berpengaruh di dalam Bersatu.
Dakwanya, Wan Saiful juga mendapat dukungan kuat dalam kalangan ketua-ketua bahagian serta kebanyakkan ahli MPT yang tidak bersetuju dan menolak Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, selain memberi kesan kepada Bersatu, pemecatan Wan Saiful itu juga bakal menggoyahkan hubungan dalam Perikatan Nasional (PN), kerana Pas dilihat lebih selesa dengan Hamzah berbanding Muhyiddin.
“Saya jangka, pemecatan Wan Saiful ini bakal menjadi permulaan ke arah perpecahan besar-besaran di dalam Bersatu yang ketika ini menyaksikan Muhyiddin dan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali selaku Setiausaha Agung Bersatu masih menguasai parti itu.
“Apa yang berlaku terhadap Wan Saiful itu adalah simbolik kepada pergeseran dalaman yang lebih besar selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Bersatu mengambil tindakan memecat lima pemimpin termasuk Wan Saiful berkuat kuasa serta merta selain Lembaga Disiplin parti itu turut menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal.
Mengulas lanjut, Hashim berkata, nasib Wan Saiful yang dipecat daripada Bersatu sukar untuk dipertahankan dan beliau tidak mempunyai pilihan selain memilih platform baharu untuk meneruskan kesinambungan politiknya.
Katanya, Pas juga berkemungkinan akan melakukan tindak balas dalam isu berkenaan dan tidak mustahil memilih untuk bergerak solo atau membentuk pakatan baharu dengan meninggalkan Bersatu.
“Saya melihat Pas lebih selesa dengan Hamzah dan tidak selesa sama sekali apabila ada menamakan Muhyiddin selaku calon Perdana Menteri ke-11,” katanya.-UTUSAN