Perak bimbang ribuan peluang pekerjaan diisi warga asing

Perak bimbang ribuan peluang pekerjaan diisi warga asing

SAARANI Mohamad (tengah) bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar 2.0 Kenapa iESG dan IR 5.0 di Ipoh, Perak hari ini.-FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perak bimbang lambakan peluang pekerjaan yang dicipta daripada pelbagai aktiviti ekonomi berskala besar di negeri ini hanya akan diisi oleh warga asing.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, risiko itu disuarakannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Putrajaya semalam.

Kata beliau, kebimbangan yang sama turut disuarakan oleh pemimpin dari tiga lagi negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Hal ini tidak baik untuk perkembangan ekonomi tempatan. Kita kena fokus tentang kaedah bagaimana peluang pekerjaan ini harus diisi oleh orang tempatan,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Seminar 2.0 Kenapa Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (iESG) dan Revolusi Industri (IR) 5.0 di sini, hari ini.

Kata Saarani, Perak dijangka mencipta banyak peluang pekerjaan termasuk menerusi pemindahan kilang syarikat kereta nasional Proton dari Shah Alam, Selangor ke Tanjung Malim, dan pembangunan Kompleks Terminal Penggasan Semula (RGT) Ketiga negara di Lumut, di bawah Petronas.

Katanya, antara usaha kerajaan negeri pada masa ini adalah menekankan kursus pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) kepada para pelajar, ibu bapa, guru serta golongan muda agar dapat memenuhi permintaan industri.

“Pembangunan ini memerlukan kita semua pecah kepala untuk memikirkan bagaimana untuk melahirkan jurukimpal tempatan bagi memenuhi permintaan industri dalam tempoh terdekat ini.

“Jika orang Perak tak cukup, kita kena guna pekerja dari negeri lain. Yang menjadi kebimbangan saya, kena ambil orang Indonesia, Bangladesh atau Myanmar. Ini satu keadaan yang tidak baik,” katanya.

Saarani juga berkata, baru-baru ketika melawat ke Medan, Indonesia, beliau dimaklumkan oleh pemandu pelancong bahawa beberapa rumah kediaman besar di bandar Sumatera Utara itu adalah dibina hasil titik peluh pekerja dari negara tersebut yang bekerja di Perak.

“Maksudnya kita telah beri peluang kekayaan kepada orang lain. Hal ini memberi pengajaran kepada kita bahawa negeri dan negara ini memerlukan bakat dalam bidang TVET,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN