Penutupan kerajaan terpanjang dalam sejarah AS

Penutupan kerajaan terpanjang dalam sejarah AS

PAPAN tanda yang menghalang pelancong daripada memasuki Pusat Pelawat Capitol, susulan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS).- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Krisis penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) kini mencatat sejarah baharu apabila menjadi antara yang terpanjang direkodkan di negara itu, selepas Senat gagal meluluskan resolusi pembiayaan kerajaan buat kali ke-11 berturut-turut.

Usul berkenaan gagal diluluskan dengan undian 50 menyokong dan 43 menentang, tanpa sebarang perubahan daripada blok Demokrat yang terus bertegas menolak cadangan Republikan.

Penutupan kerajaan berlaku selepas Dewan Perwakilan, yang diketuai Speaker Mike Johnson, menggantung sidang selama beberapa minggu sebagai tekanan terhadap Senat yang dikuasai Demokrat agar meluluskan resolusi pembiayaan versi Dewan tanpa sebarang tambahan dasar baharu.

Bagaimanapun, Demokrat enggan menyokong langkah itu tanpa peruntukan tambahan berkaitan subsidi kesihatan di bawah Akta Penjagaan Mampu (ACA) yang bakal tamat hujung tahun ini.

Dalam sidang media di Washington pada Isnin, Johnson menuduh pemimpin Demokrat di Senat, Chuck Schumer, sengaja melengahkan kelulusan bajet demi kepentingan politik, sambil mengaitkannya dengan siri bantahan besar-besaran ‘No Kings’ yang diadakan di seluruh negara pada hujung minggu lalu.

“Penutupan ini hanya berkisar kepada satu perkara, kelangsungan politik Chuck Schumer,” katanya dengan disertai beberapa pemimpin Republikan termasuk Pengerusi House Freedom Caucus, Andy Harris.

Penutupan kerajaan yang bermula pada 1 Oktober itu kini memecah rekod sebagai penutupan penuh kerajaan terpanjang dalam sejarah AS, dan akan mengatasi tempoh 21 hari pada tahun 1995-1996 sekiranya berlarutan melepasi Selasa.

Satu-satunya penutupan yang lebih lama ialah penutupan separa selama 35 hari semasa pentadbiran Donald Trump pada Disember 2018 hingga Januari 2019.

Kesan penutupan semakin dirasai apabila kira-kira 1,400 kakitangan Agensi Keselamatan Nuklear Kebangsaan (NNSA) di bawah Jabatan Tenaga mula diarahkan bercuti tanpa gaji sejak Isnin. – THE GUARDIAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN