Peniaga digesa tingkat kemahiran, bersaing peringkat global

Peniaga digesa tingkat kemahiran, bersaing peringkat global

ONN HAFIZ Ghazi melawat reruai sempena Majlis Pelancaran Johor Business Summit & Expo (JBSE 2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Semua pihak termasuk golongan usahawan dan peniaga di negeri ini digesa untuk meningkatkan kemahiran serta mutu perkhidmatan masing-masing agar mampu bersaing dalam ekosistem pelaburan global yang semakin mencabar, khususnya dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, usaha meningkatkan kemahiran (upskill) dan menyesuaikan kemahiran baharu (reskill) amat penting bagi memastikan rakyat Johor mampu bersaing di peringkat global serta seiring dengan pembangunan negara maju.

Katanya, bukan sahaja rakyat, malah kepemimpinan negeri termasuk dirinya turut mengambil tanggungjawab memperkukuh keupayaan masing-masing bagi memastikan Johor terus menjadi destinasi utama pelaburan.

“Para usahawan dan peniaga, mereka mesti berusaha mempertingkatkan kemahiran dan daya saing kerana kita kini berdepan cabaran JS-SEZ.

“Kawasan JS-SEZ ini meliputi keluasan 3,500 kilometer persegi iaitu empat kali lebih besar daripada Singapura. Kawasan ini akan menumpukan kepada pelbagai sektor termasuk pembuatan, logistik, runcit serta pelancongan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Johor Business Summit & Expo (JBSE 2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor, di sini hari ini.

Tambahnya, banyak jenama besar akan berada di Johor dan ramai usahawan tempatan berpotensi untuk maju ke hadapan kerana melalui JS-SEZ, akan ada pelbagai peluang serta insentif yang ditawarkan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Katanya, bagi memastikan pelabur terus memilih Johor sebagai destinasi utama, kerajaan negeri mahu menawarkan kumpulan usahawan dan peniaga yang benar-benar berkualiti serta mampu memenuhi keperluan pelabur antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN