PASIR MAS: Seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus menjadi dalang kes samun dan melarikan barang kemas bernilai RM5.7 juta di sebuah kedai pajak gadai sini tempat dia bekerja pada 21 Oktober lalu.
Perbuatan wanita itu terbongkar selepas polis menahan kekasihnya berusia 49 tahun pada 24 Oktober lalu yang sebelum itu bertindak menyamun premis berkenaan.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, tangkapan lelaki berkenaan membawa kepada rampasan peralatan yang digunakan untuk menyamun premis berkenaan termasuk sebuah trak pikap dan wang tunai berjumlah RM12,830 serta mata wang Thailand sebanyak 11,160.
Katanya, sehari kemudian polis telah menyerbu serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Kujid, Panji, Kota Bharu dekat sini dan merampas 933 plastik cerah mengandungi pelbagai jenis barang kemas seberat 10.9 kilogram yang dianggarkan bernilai RM5.7 juta.
“Turut dirampas dalam serbuan itu wang tunai berjumlah RM77,198, sarung muka (2), cermin mata hitam (1), dekoder kamera televisyen tertutup (1) dan beg jenis kain (3).
“Terdahulu pada 21 Oktober lalu, polis telah menerima satu laporan berkaitan kes samun di sebuah kedai pajak gadai dengan menyembur cecair pembasmi kuman pada seorang mangsa dan kemudian mengacukan pisau,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, suspek kemudian telah masuk ke dalam bilik kebal premis pajak gadai tersebut dan melarikan barang kemas berkenaan.
Katanya, susulan itu, pada hari sama polis menahan enam individu berusia 26 hingga 66 tahun yang merupakan pekerja di premis berkenaan termasuk pengawal keselamatan bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah.
“Hasil soal siasat mendapati dalang utama kes ini telah bekerja selama 17 tahun di kedai berkenaan,” ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata, kesemua direman bermula 25 hingga 30 Oktober bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan Samun Berkawan Tanpa Senjatapi.-UTUSAN










